|
Rossa 10 tahun mengharap cinta?
Rossa mengakui pernah berharap pada seseorang lebih 10 tahun, namun, apa yang diketengahkan menerusi lagu Terlalu Berharap bukanlah kisah peribadinya. - Foto Ihsan Rossa
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular dari Indonesia, Datuk Seri Rossa, 42, selesa meskipun masih sendiri selepas lebih 12 tahun berpisah dengan bekas suami yang juga pemain dram kumpulan Padi, Yoyo.
Bagaimanapun, Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handayani berkata, dia tidak menafikan pernah mengenali dan rapat dengan beberapa jejaka, namun, tiada yang membuatkan hatinya mahu kembali berumah tangga.
"Saya sempat mengenali dan dekat dengan beberapa orang selepas bercerai, tetapi kenapa saya tidak pernah berkongsi perkara ini kepada peminat. Ini kerana belum ada jodoh, jadi buat apa?
"Jika sudah benar-benar pasti dan saya terbuka hati mahu berkahwin lagi, barulah saya akan berkongsi," katanya kepada BH Online.
Tambah Rossa, dia juga tidak pening memikirkan soal jodoh mahupun pasangan hidup kerana lebih mengutamakan kerjaya seninya.
"Jujurnya, saya memang tidak pernah memikirkan soal jodoh dengan serius selepas bercerai. Soal saya mahu kembali hidup berumah tangga, mahupun serius dengan siapa, ia bukan menjadi keutamaan.
"Jodoh itu ketentuan Allah, saya pastinya berdoa mahukan jodoh yang baik-baik. Tetapi, bila jodoh tiba atau dengan siapa, saya yakin Allah lebih tahu soal ini.
"Sekarang, saya menjalani kehidupan saya sebaik-baiknya. Saya bersyukur kerana berada dalam industri muzik, diberikan waktu yang cukup panjang, disukai ramai dari generasi ke generasi. Itu adalah rezeki dari Allah.
"Jadi, itulah menjadi keutamaan saya buat masa ini. Misalnya, kalau hasilkan lagu, harus bagus. Bikin apapun, perlulah yang terbaik. Soal jodoh, biarlah Allah yang atas uruskan," katanya.
Rossa ditemui pada sidang media lagu terbaharu berjudul Terlalu Berharap secara virtual, semalam.
Rossa tidak pernah memikirkan soal jodoh dengan serius selepas bercerai dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo pada 2009. - Foto Ihsan Rossa
Lagu ciptaan Andmesh Kamaleng yang juga runut bunyi kepada filem Love Knots itu dilancarkan sejak 28 November lalu.
Berkongsi lanjut, Rossa tidak menafikan dirinya pernah berharap pada seseorang lebih 10 tahun, bagaimanapun, apa yang diketengahkan menerusi lagu Terlalu Berharap bukanlah berdasarkan kisah peribadinya.
"Saya pernah berharap, tetapi itu sudah lama terjadi. Saya sudah lupa bagaimana rasanya kerana kejadiannya sudah cukup lama. Kini, saya baik-baik sahaja, tidak sesedih lagu ini.
"Orang selalu berfikir jika saya menyanyikan lagu galau, saya sedang bersedih. Padahal tidak, saya senang sahaja. Mungkin penghayatan saya bagus untuk lagu-lagu seperti ini.
"Seperti aktor, apa yang dilakonkan bukanlah yang benar-benar terjadi. Sama juga saya, tetapi itu mungkin menjadi kelebihan saya menyanyikan lagu galau.
"Namun, faktanya, tidak semua lagu berkisarkan diri saya. Saya hanya menyanyikannya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rossa berkongsi akan tampil dengan album baharu sempena ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam bidang seni.
"Insya-Allah, saya akan mengeluarkan album penuh dan pada masa sama, meneruskan perancangan konsert yang tertunda, sempena 25 tahun dalam industri muzik.
"Semoga semuanya sihat dan kami dapat menjayakannya. Di Indonesia, kami sudah boleh melakukan konsert, tetapi dengan jumlah penonton minimum.
"Bolehlah, daripada tiada kerana penonton membuatkan penyanyi dan pemuzik merasakan gembira, berbeza jika persembahan yang dilakukan di hadapan kamera," katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... hun-mengharap-cinta
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|