CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 466|Reply: 0

Gandingan serasi

[Copy link]
Post time 17-1-2022 01:56 PM | Show all posts |Read mode

GANDINGAN sulung Jisoo dan Jung Hae-in cukup menjadi.

PERTAMA kali digandingkan dalam siri Snowdrop menjadi pengalaman cukup bermakna buat dua bintang sensasi Korea Selatan ini. Gabungan Jung Hae-in dan Jisoo ternyata begitu 'hidup' selain keduanya akui seronok kerja bersama.

Mereka saling memuji kerana pengalaman itu membuka mata terhadap banyak perkara mengenai keperibadian masing-masing. Bukan setakat mudah cipta keserasian, mereka turut belajar banyak nilai hidup sesama sendiri.

Sebagai pelakon jauh lebih berpengalaman, Jung Hae-in mengakui dia memang kagum dengan tatakerja yang ditunjukkan anggota BLACKPINK itu. Dia sangat yakin potensinya terlalu besar untuk terus bersinar sebagai pelakon meskipun Snowdrop siri sulungnya.

"Saya sangat gembira menjadi gandingan Jisoo dalam lakonan sulungnya. Saya belajar banyak perkara daripadanya sepanjang proses pembikinan Snowdrop. Menilai corak kepimpinan dirinya di set, saya yakin dia akan bersinar dalam projek akan datang.

"Saya sangat berpuas-hati dengan pengalaman itu. Ia sangat luar biasa," katanya.

Jisoo pula mengakui dirinya cukup bertuah kerana gandingan sulungnya itu seorang pelakon yang sangat berwibawa. Sepanjang penggambaran, Hae-in menjadi sistem sokongan terkuatnya untuk memberikan corak kerjaya terbaik.

"Ramai orang beritahu saya bahawa bukan senang dapat bekerjasama dengan pelakon seperti Hae-in. Tiada siapa yang akan memantau persembahan saya secara teliti dan sanggup tunggu di set sebagaimana dilakukannya.

"Anggap saja saya cukup bertuah mendapat peluang bergandingan dengannya dan saya memang sangat bersetuju dengan hal itu. Dia memberikan bantuan dan sokongan yang cukup banyak.

"Saya rasa sangat selamat apabila dia sentiasa menjadi tulang belakang saya. Ia satu penghormatan dan saya berharap akan dapat bekerjasama lagi bersamanya pada masa hadapan," katanya.


JISOO akui dia agak bergelut untuk salurkan emosi dalam menjayakan wataknya.

Dalam siri arahan Jo Hyun-tak itu, Hae-in melakonkan watak Lim Soo-ho manakala Jisoo sebagai Eun Yeong-ro dengan begitu cemerlang. Cara mereka menghidupkan watak masing-masing jelas penuh emosi.

Mereka mengakui keserasian tercipta antara keduanya menjadi tunjang kukuh bagaimana watak itu dijayakan dengan begitu baik. Hae-in akui kerjasama mereka bukan setakat depan kamera semata-mata.

"Saya sentiasa berfikir bagaimana mahu tunjukkan Soo-ho bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan persekitaran berbeza. Saya banyak berbincang dengan pengarah untuk meyeimbangkan karakter Soo-ho.

"Jisoo dan saya juga berbincang banyak kali sewaktu raptai dan membentuk bagaimana reaksi sepatutnya terhadap aksi masing-masing. Ia proses yang sangat menyeronokkan dan ada kesatuan," katanya.

Jisoo pula tidak menafikan agak bergelut untuk paparkan emosi dalam wataknya kerana karakter itu cukup berbeza dengan dirinya dalam realiti. Bagaimanapun, dia harus lakukannya dengan semula jadi sebaik yang boleh.

"Yeong-ro mengalami dan paparkan spektrum emosi menyeluruh daripada episod satu hingga 16 yang mana cukup menyukarkan saya. Saya biasanya suka simpan perasaan kepada diri-sendiri sewaktu berdepan masa sukar.

"Manakala Yeong-ro tidak takut untuk pamerkan dan hadapinya (waktu sukar). Saya menyalurkan sepenuh hati dalam menggambarkan personalitinya secara semula jadi sebaik mungkin kerana sebahagian dirinya cukup berbeza dengan saya," katanya.


HAE-IN kagum dengan ciri kepimpinan dalam diri Jisoo.

Apapun, mereka tidak nafikan bahawa banyak kenangan manis diraih daripada pengalaman menjayakan Snowdrop. Banyak perkara mengagumkan dan baharu dipelajari sepanjang pembikinannya.

Hae-in sendiri perlu melakukan perubahan pada fizikalnya untuk dapatkan gambaran karakter yang cukup sempurna. Selain itu, mereka bekerja-keras untuk salurkan elemen kreatif spontan dalam babak tertentu.

"Penonton dapat melihat kulit saya bertukar menjadi lebih gelap sepanjang siri itu. Warna kulit pucat tidak bersesuaian dengan karakter Soo-ho dan disebabkan itu saya melakukan proses menggelapkan kulit.

"Cukup menyeronokkan juga apabila saya dapat melakukan penggambaran dengan menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) bersama Jisoo. Sewaktu di set, kami gunakan imaginasi untuk isi ruang yang kosong," katanya.

Buat Jisoo pula, kenangan paling tidak dapat dilupakan adalah apabila aksinya tidak menjadi seperti apa yang mulanya dibayangkan diri-sendiri. Apapun, dia anggapnya satu momen yang mencuit hati.

"Saya teringat babak dalam episod pertama sewaktu Yeong-ro meluru sebaik mendapat panggilan telefon. Saya seronok melakukan penggambaran untuk babak itu. Saya berlari ke kamera yang terpacak depan saya.

"Disebabkan jurukamera itu perlu berlari mengikuti saya, hasil akhirnya tidak bertepatan dengan pergerakan saya terutama sewaktu saya memecut. Saya ingin tahu hasil itu dan bergelak tawa sebaik menontonnya semula bersama semua di set," katanya.

Snowdrop berkisar kisah cinta yang berlaku pada tahun 1987 di Seoul. Siri terbaik mula ditayangkan pada 18 Disember lalu menerusi platform penstriman media Disney+ dan mendapat pujian cukup luar biasa.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 02:25 PM GMT+8 , Processed in 0.440529 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list