|
Georgetown: Wanita berusia 63 tahun kerugian RM3.9 juta akibat diperdaya 'kekasih dari Korea' yang dikenali sejak empat bulan lalu.
Mangsa yang tidak bekerja itu melakukan 184 transaksi kepada kekasihnya sepanjang tempoh berkenaan
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily berkata terdahulu, mangsa mengenali suspek yang berusia 40-an menerusi laman sosial Instagram sebelum meneruskan perhubungan menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya, lelaki berkenaan mendakwa berasal dari Korea serta bekerja di sebuah pelantar minyak.
"Suspek turut berkongsi videonya ke tempat kerja menyebabkan mangsa tertarik bagi mengenali lelaki berkenaan.
"Suspek kemudian menawarkan kerjasama mangsa dalam sebuah projek dan mendakwa memerlukan sejumlah wang," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, terpedaya dengan tawaran itu, mangsa melakukan transaksi pertama pada Disember tahun lalu.
Katanya, setiap transaksi yang dilakukan berjumlah antara RM9,000 hingga RM50,000 menerusi 19 akaun bank tempatan.
Mangsa menyedari tertipu selepas curiga melihat foto suspek ketika melayari Internet sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, pada 17 Mac lalu.
"Kesemua wang yang terbabit adalah milik mendiang suaminya yang disimpan hasil bekerja sebagai ahli perniagaan.
"Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan 'love scam' yang akhirnya menyebabkan kerugian sejumlah wang," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. |
|