View: 368|Reply: 0
|
[Pulau Pinang]
Pembantu kedai telefon ditahan disyaki terlibat sindiket Macau Scam
[Copy link]
|
|
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/wanita-macau-scam-re.jpeg)
SEORANG wanita di Bayan Lepas, Pulau Pinang ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket Macau Scam.
BAYAN LEPAS: Seorang wanita berusia 20-an ditahan polis di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini awal pagi tadi kerana disyaki terlibat sindiket Macau Scam.
Wanita warga tempatan itu yang bekerja sebagai pembantu kedai telefon bimbit ditahan kira-kira pukul 7 pagi dan disyaki terlibat dengan sindiket Macau Scam sejak Ogos tahun lalu.
Difahamkan, suspek pada mulanya telah menyerahkan kad ATM Bank Hong Leong kepada seorang lelaki yang dikenali di Facebook untuk urusan pinjaman wang sebanyak RM2,000.
Suspek kemudian memperoleh wang sebanyak RM1,700 secara tunai, namun dia perlu menyerahkan kad ATM berkenaan kepada lelaki tersebut dan mendakwa tidak mengetahui kad banknya telah digunakan untuk tujuan ‘scammer’.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek ditahan susulan laporan yang diterima membabitkan seorang jurutera berusia 27 tahun yang telah ditipu sehingga mengalami kerugian RM60,467.
Katanya, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada ‘scammer’ yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkan mempunyai cukai tertunggak serta diminta menghubungi pegawai polis melalui nombor yang diberikan.
“Mangsa diyakinkan oleh pihak LHDN (scammer) mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM32,000 yang mana nama mangsa didaftarkan ke atas sebuah syarikat tempatan.
“Kemudian talian disambungkan kepada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan dan mangsa bercakap dengan seorang pegawai polis yang mengarahkannya membuat pembayaran atau jika gagal akan diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa telah membuat lima kali pemindahan wang ke dalam akaun Bank Hong Leong dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,467.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
“Polis menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan menerusi media sosial antaranya jual beli di laman sosial, pinjaman dan pelaburan tidak wujud dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, polis juga menyarankan orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di aplikasi ‘google play’ Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... indiket-macau-scam/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|