View: 904|Reply: 0
|
Bila tiada kecintaan terhadap Nabi SAW
[Copy link]
|
|
Bila tiada kecintaan terhadap Nabi SAW
AL-QURAN mampu menjadi benteng keimanan yang teguh bagi menangkis sebarang hasutan iblis, runtunan hawa nafsu dan godaan duniawi.
Mungkin ramai yang terkejut dengan tindakan seorang wanita yang kononnya menghafaz 15 juzuk al-Quran menanggalkan hijab dan pakaian Muslimahnya bagi menampilkan aksi dirinya seperti wanita bukan Islam.
Kita tidak tahu nasib apa yang menimpa dirinya sehingga dia setega dan senekad itu berbuat demikian. Namun, walau apa pun alasannya, dia tiada hak untuk melakukan perbuatan yang boleh menghina Islam.
Kita percaya orang mualaf yang memeluk Islam pun tidak melakukan perbuatan yang menghina agama asalnya seperti itu.
Isu ini menjadi tarikan, terutama kerana dakwaannya menghafaz 15 juzuk al-Quran. Seolah-olah al-Quran yang dihafaz tiada memberi apa-apa erti kepadanya atau hafazannya itu seumpama hafazan burung kakak tua yang pandai berkata-kata, namun tidak mengerti pun apa yang dikatakannya.
Kejadian ini hanya salah satu tanda kerosakan umat Islam di akhir zaman sebelum tibanya kerosakan yang lebih besar lagi sekiranya umat Islam masih terus leka dengan keseronokan duniawi.
Diriwayatkan daripada Saidina 'Ali bin Abi Talib RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Hampir akan datang kepada manusia satu zaman, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu melainkan namanya sahaja dan tidak tinggal lagi daripada al-Quran itu melainkan tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka makmur, tetapi ia kosong daripada petunjuk. Ulama mereka adalah orang paling jahat yang hidup di bawah bumbung langit, yang daripada sisi mereka akan keluarnya fitnah dan kepada mereka juga ia akan kembali". (Riwayat Ibn 'Adi dalam al-Kamil dan al-Bayhaqi dalam Syu'ab al-Iman dengan sanad daif)
'Ulama' yang dimaksudkan dalam hadis ini bukan ulama sebenar, tetapi golongan yang berpura-pura alim, padahal mereka sebenarnya kosong iman sehingga mereka itu sendiri sesat lagi menyesatkan orang lain.
Walaupun kononnya menghafaz 15 juzuk al-Quran, malah 30 juzuk sekali pun, namun tindak-tanduknya hanya menambah kehancuran moral dan akidah umat manusia.
Penulis tertarik dengan cetusan pandangan seorang ulama al-Azhar terkenal, Syeikh Dr Yusri Rusydi Jabr dalam laman sosialnya mengenai bagaimana cara untuk kita mengelakkan diri daripada perbuatan kufur.
Beliau mengatakan bahawa benteng daripada kekufuran hanya terhasil melalui al-Quran dan Nabi SAW secara bersama, yakni dengan banyak berselawat kepada baginda SAW. Adapun al-Quran sahaja tanpa Nabi SAW, tidak akan dapat melindungi daripada kekufuran.
Menurutnya, beliau sudah menemui ramai orang, malah ada antara mereka yang menghafaz al-Quran namun demikian mereka akhirnya menjadi kufur dan murtad.
Perhatikan firman Allah SWT: "Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada Rasul-Nya (Muhammad SAW)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)." (Surah Al 'Imran: 101)
Maka mereka hanya mengambil berat dengan ayat-ayat Allah, namun mereka lupa bahawa dalam kalangan mereka ada Rasul-Nya. Justeru itu, mereka tidak terpelihara daripada kekufuran. Sedangkan kita temui ayat sesudahnya berbunyi: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Surah Al 'Imran: 102)
Ayat ini seolah-olah mengisyaratkan, jika kamu ingin mati sebagai Muslim, kamu perlu menghimpunkan dalam hatimu al-Quran dan kecintaan terhadap Nabi SAW. Syeikh Dr Yusri Rusydi Jabr menempelak golongan yang memberi tumpuan terhadap al-Quran, namun kurangnya kecintaan mereka terhadap Nabi SAW kerana kadar tumpuan sedemikian tidak semestinya dapat menyelamatkan mereka daripada kesesatan.
Penumpuan terhadap al-Quran hakikatnya mampu ditekuni oleh ramai orang. Malah, kumpulan menyeleweng seperti golongan Qur'aniyyun (anti hadis) dan Qadiyaniyyah Ahmadiyyah turut mampu menekuni al-Quran. Demikian juga golongan bukan Islam seperti golongan orientalis yang sanggup menghabiskan masa puluhan tahun mengkaji al-Quran.
Malah, ketika di Mesir juga penulis pernah diberitahu bahawa ramai dalam kalangan paderi gereja ortodoks turut menghafaz al-Quran. Namun, semua ini tanpa keimanan dan kecintaan sebenar terhadap Nabi SAW tidak dapat menyelamatkan mereka daripada kekufuran.
Moralnya, kecintaan terhadap Nabi SAW perlu dipupuk dalam jiwa umat Islam, terutama dengan memperbanyakkan selawat kepada baginda SAW.
Bersama al-Quran, kedua-duanya mampu menjadi benteng keimanan yang teguh bagi menangkis sebarang hasutan iblis, runtunan hawa nafsu dan godaan duniawi.
Barangkali jika wanita terbabit benar-benar mempunyai kecintaan terhadap Nabi SAW, mungkin tidak akan berlaku perubahan ekstrem seperti itu.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... n-terhadap-nabi-saw
|
|
|
|
|
|
|
| |
|