View: 1059|Reply: 1
|
Beri nasihat biar berhikmah
[Copy link]
|
|
Beri nasihat biar berhikmah
UNGKAPAN tutur kata yang baik secara berhadapan mahupun tulisan nasihat di media sosial dapat memperkukuhkan hubungan sesama Muslim.
Amalan menasihati sesama Muslim adalah amalan yang baik lagi disukai dalam Islam. Islam sentiasa mengingatkan kita supaya sentiasa memberikan khidmat nasihat yang terbaik buat saudara seagama agar ia dapat memberikan kesan baik terhadap seseorang. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Agama itu nasihat. Kami bertanya: Kepada siapa? Baginda bersabda: Kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada rasul-Nya, kepada pemimpin Muslimin dan Muslimin secara umum." (Riwayat Imam Muslim)
Justeru, memberi nasihat yang baik adalah anjuran di dalam Islam. Setiap Muslim tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW yang bermaksud: "Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat." (Riwayat Ibn Majah)
Untuk itu, sebagai seorang Muslim yang sentiasa menginginkan kebaikan buat saudaranya sentiasa memberikan khidmat nasihat ke jalan yang benar lagi diredai Allah SWT.
Dalam usaha memberikan khidmat nasihat yang terbaik buat saudara kita, sudah tentu beberapa perkara perlu dipertimbangkan apabila ingin memberikan nasihat. Pertama, seorang Muslim perlu menggunakan pendekatan yang berhikmah (bijaksana dan tepat) serta mengungkapkan tutur kata yang baik jika berhadapan secara bersemuka. Namun jika ingin memberikan nasihat di dalam media sosial ia perlu dilakukan dengan gaya bahasa yang sopan sebagai lambang keperibadian Muslim yang baik. Setiap tutur kata atau tulisan di dalam media sosial pasti akan meninggalkan kesan yang baik kepada pembaca dan seterusnya dapat mengelak daripada kekeruhan dan salah faham antara dua pihak.
Hal ini ditegaskan di dalam al-Quran dalam Surah Qaaf ayat 16–18 yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."
Justeru, setiap tutur kata dan nasihat yang baik akan dicatat oleh malaikat yang mencatat amalan seseorang. Jika nasihat itu memberi kesan baik kepada seseorang maka kebaikan pahala yang akan diperolehinya kelak namun jika nasihat itu disulami dengan kejian dan makian maka ia akan dicatat sebaliknya.
Perkara kedua yang perlu bagi seseorang Muslim berhati-hati ketika memberikan nasihat ialah dengan tidak membuka aib saudaranya. Ini kerana Islam sangat memelihara aib dan kehormatan bagi setiap Muslim. Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Siapa yang melepaskan daripada seorang Mukmin satu kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan- kesusahan pada Hari Kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan, nescaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya." (Riwayat Muslim)
Untuk itu, pastikan nasihat yang diberikan itu tidak mengganggu ketenteraman hidup seseorang serta tidak menjatuhkan maruahnya di khalayak umum.
Perkara ketiga yang perlu difikirkan sebelum memberi nasihat kepada saudara Muslim ialah memastikan bahawa ungkapan tutur kata secara berhadapan mahupun tulisan nasihat di media sosial dapat memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim sesama Muslim tanpa menimbulkan kerisauan dan kegusaran kepada saudaranya. Seseorang yang diberikan nasihat berasa selamat dan sentiasa berlapang dada di dalam menerima nasihat saudaranya. Ini kerana jika tiga perkara tersebut diamalkan dengan baik semasa memberikan nasihat ia mampu meninggalkan kesan baik terhadap nasihat yang diberikan namun jika nasihat yang diberikan diiringi dengan kejian, makian, membuka aib, tutur bahasa yang kesat maka ia akan memberikan kesan yang buruk terhadap diri, emosi dan maruah seseorang. Hal ini ditegaskan oleh Nabi SAW yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat daripada lisan dan tangannya dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah." (Sahih al-Bukhari)
Justeru, sebagai kesimpulannya tugas menasihati merupakan amalan yang mulia namun kaedah serta pendekatan yang digunakan mestilah dihiasi dengan keikhlasan serta menjaga adab dan tatasusila semasa memberikan nasihat. Semoga kita semua sentiasa diberikan kebaikan dan pahala yang berpanjangan kerana kita saling menasihati di antara satu sama lain dengan penuh keikhlasan sesama kita.
Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... ihat-biar-berhikmah
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
saya teingat kata kata seorang mufti di malaysia....
katanya, org yg baik itu, kata katanya terpilih |
|
|
|
|
|
|
| |
|