View: 8306|Reply: 0
|
Biar mahkamah syariah tentukan cerai atau tidak
[Copy link]
|
|
Biar mahkamah syariah tentukan cerai atau tidak
Yahya Ahmad
Johor Bahru: Hanya hakim Mahkamah Syariah yang boleh menentukan sama ada sesuatu lafaz taklik itu, sah jatuh talak atau sebaliknya.
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, ia berikutan hakim Mahkamah Syariah perlu mendapat kepastian lafaz taklik sebenar daripada pasangan suami isteri berkenaan, sebelum memutuskan sama ada ia sah atau tidak.
Katanya, ada lafaz taklik yang kedengaran seperti jatuh talak, namun ia sebenarnya tidak membawa kepada perceraian dan hanya berlaku salah faham.
"Sama ada sah perceraian secara lafaz taklik itu juga bergantung pada niat suami, sama ada sekadar bergurau atau benar-benar bermaksud untuk bercerai.
"Contohnya suami melafazkan, 'kalau awak (isteri) vaksin, putuslah hubungan antara kita. Kita tidak ada apa-apa lagi'. Ini tidak jatuh talak kerana tiada perkataan cerai atau talak secara jelas.
"Tidak juga jatuh talak jika lafaz taklik suami dilafazkan selepas perbuatan berkenaan dilakukan termasuk tanpa pengetahuan suami. Misalnya, isteri sudah mengambil vaksin baharulah suami melafazkan 'Kalau awak sudah ambil vaksin, jatuh talak'. Bagaimanapun, jika isteri meneruskan ambil dos kedua vaksin selepas lafaz itu, baharulah sah jatuh talak.
"Ia berbeza, jika suami melafazkan 'saya tak mahu awak (isteri) ambil vaksin, jika awak ambil juga, jatuh talak'. Talak tidak akan jatuh kecuali jika isteri mengambil vaksin juga, maka jatuhlah talak.
"Namun, jika senarionya, suami berang apabila mengetahui isteri mendapatkan vaksin tanpa pengetahuannya sehingga berlaku pergaduhan dan suami melafazkan talak atau cerai, itu adalah perceraian biasa bukan lafaz taklik dan perlulah dirujuk ke pejabat agama," katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki di Kuala Terengganu, tergamak melafazkan taklik terhadap isterinya bagi menghalang pasangan hidupnya itu daripada mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Tindakan lelaki terbabit kini menimbulkan persoalan kepada hubungan pasangan berkenaan, apabila isterinya sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin di luar pengetahuan suami.
Suri rumah itu menghubungi seorang peguam syarie bagi mendapatkan khidmat nasihat dan pengesahan, sama ada taklik dilafazkan suaminya sah atau sebaliknya.
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot berkata, ikhtiar pengambilan vaksin Covid-19 adalah usaha menyelamatkan nyawa yang dibolehkan dalam Islam.
"Mengikut fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah, kita harus berusaha dan mencari ikhtiar menyelamatkan nyawa dalam isu Covid-19 ini termasuklah mendapatkan vaksin bukan semata-mata berdoa, malah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan pengambilan vaksin.
"Hak mutlak menjaga nyawa ini adalah tanggungjawab individu, maka seharusnya ia tidak dirumitkan," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-cerai-atau-tidak
|
|
|
|
|
|
|
| |
|