Pelakon terkenal Tiz Zaqyah memuji tindakan aktres Hollywood, Angelina Jolie yang akhirnya bersuara mengenai isu peperangan di antara Israel dan Palestin.
Tulis Tiz Zaqyah, Angelina telah banyak membantu dalam membuat sumbangan dan sentiasa lantang mengenai peperangan.
Malah Tiz Zaqyah juga turut mendoakan agar Angelina sentiasa dilindungi dari segala aspek yang dilakukannya.
"Angie telah menjadi aktivis kemanusiaan selama 20 tahun. Dia telah melawat kem pelarian, mendengar tangisan dan harapan mereka.
"Dia membantu membina sekolah, dan telah membuat banyak sumbangan. Dia sentiasa bersuara tentang korban perang.
"Semoga Allah melindungi dia dari segala aspek, untuk suaranya dan untuk kemanusiaan," tulisnya.
Terdahulu, Angelina Jolie yang pada awalnya bersikap 'neutral' akhirnya bersuara memberi tanda sokongan terhadap bumi Palestin dan menuntut keadilan terhadap masyarakat di Semenanjung Gaza yang dizalimi zionis Israel.
Angelina berkata, tindakan pemimpin negara yang tidak menyokong genjatan senjata disifatkan sebagai perbuatan jenayah.
Angelina berkongsi perkara itu selepas Zionis bertindak zalim dengan mengebom sebuah kem pelarian di Gaza baru-baru ini.
Pelakon ini turut meluahkan rasa simpati susulan tragedi yang mengorbankan banyak nyawa termasuk kanak-kanak dan golongan wanita.
Hantaran yang dimuat naik oleh Angelina itu mendapat sokongan banyak pihak selepas dia menerima kecaman gara-gara bersikap natural terhadap isu Palestin-Israel sejak 7 Oktober lalu.
Sumber: Murai
|