Penyanyi Ayda Jebat bermurah hati apabila menawarkan diri untuk menjadi penasihat kepada mana-mana peserta program Famili Duo bagi mencari kelainan dalam persembahan.
Dia yang juga naib juara Famili Duo musim kedua tahun lalu berkata, pelbagai perkara perlu dielakkan oleh para peserta musim ketiga termasuk konsep persembahan dan pemilihan lagu berulang.
"Famili Duo nak saya dan pasukan saya membantu memberi idea dan persembahan tak?” katanya dalam aplikasi X semalam.
Tambah pelantun lagu Pencuri Hati itu, peserta dinasihatkan tidak menggunakan lagu-lagu yang pernah dipersembahkan pada musim terdahulu.
"Kalau boleh jangan beri atau menggunakan lagu yang sama dengan musim lepas.
"Atau memang perlu tukar konsep, susunan muzik dan teknik nyanyian,” ujarnya.
Pada musim lalu, Ayda yang bertanding bersama adiknya Fyna Jebat sering meraih pujian daripada juri tetap apabila selalu tampil dengan idea unik setiap minggu.
Menerusi musim terdahulu, pasangan adik-beradik yang juga anak kepada penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah iaitu Yamani Abdillah dan Zaki Yamani dinobatkan sebagai juara.
Sumber: HibGlam
|