View: 1587|Reply: 0
|
Peluang buat bakat muda - Scha Al-Yahya
[Copy link]
|
|
Peluang buat bakat muda
SCHA inginkan bakat baharu tempatan sasar cipta nama terus ke peringkat global. FOTO Azhar Ramli
DENGAN dunia digital sekarang semakin tiada batas, pelakon dan pengacara Scha Al-Yahya menyeru bakat-bakat seni muda untuk rebut peluang mencipta nama ke peringkat global dan bukan sekadar dalam industri tempatan saja.
Scha, 40, yang kini semakin rancak terbabit pelbagai acara di luar negara melihat prospek mencipta nama dalam kalangan generasi muda sekarang lebih mudah.
Mereka ada platform media sosial yang meluas.
Baginya, evolusi itu memang lebih terasa sekarang berbanding generasi artis kita terdahulu.
Apalagi katanya, generasi baharu sekarang ramai yang bijak berilmu dan pastinya tidak sukar manfaatkan kelebihan itu pergi jauh ke pentas antarabangsa.
"Kalau kita tengok corak, daripada dulu banyak artis senior kita yang sangat kukuh. Lama-lama berevolusi, generasi muda selepas itu mula menembusi pasaran luar. Hal itu sangat boleh kita capai.
"Masa sudah berubah sekarang. Kita punya sasaran pun sebuah perlu lebih tinggi sebab kita ada media sosial. Kalau tak gunakan platform yang ada, rugi. Saya percaya, kalau ada penampilan kukuh, orang akan nampak kita.
"Mereka perlu sasarkan lebih tinggi berbanding apa yang kami pernah buat sebelum ini. Tanggungjawab mereka lebih besarlah. Mereka pun sangat bijak. Generasi muda kita lebih terdedah maklumat, berilmu," katanya.
Terbaru, Scha juga dilantik sebagai hos dan mentor pencarian Hero Dewi Remaja 2023. Kesempatan itu juga dia ingin gunakan untuk menyuntik semangat kepada 16 peserta yang bertanding untuk luaskan minda mereka.
Bagaimanapun, juara Dewi Remaja 2005/06 terbabit percaya pendekatan berbeza perlu diambil untuk melentur bakat-bakat baharu sekarang. Zaman sekarang baginya sudah jauh berbeza berbanding sebelum ini.
16 finalis Hero Dewi Remaja 2023 berentap untuk edisi dengan format baharu. FOTO Azhar Ramli dan Astro
"Generasi sekarang sangat lain. Kita tak boleh pertikaikan sangat kerana memang begitulah cara mereka. Kita perlu hanya tunjuk apa yang betul dan salah. Kena bagi pendekatan berbeza kepada mereka.
"Ini kerana, dunia mereka banyak kepada dunia digital. Mereka tak ada sangat tonton TV, baca surat khabar, buka majalah. Kebanyakan semua di hujung jari untuk mereka.
"Sebagai yang berada lama dalam industri, saya perlu ada ilmu berbeza untuk mendekati mereka supaya lebih difahami. Sebabnya, mereka sangat bijak. Ini baru pengenalan dalam fasa hidup baharu mereka," katanya.
Mengulas mengenai perubahan format pertandingan dengan menggabungkan Hero Remaja dan Dewi Remaja serentak, Scha yakin ia satu keputusan terbaik.
Daripada dibuat berasingan, gabungan itu pasti beri dinamik berbeza.
"Format baharu itu sangat segar dan bersesuaian dengan pasaran sekarang apabila ada dinamik dan sisi berbeza. Kalau berdiri sendiri, kena berdikari. Bila ada pasangan, boleh nampak sisi berlainan.
"Saya selalu ingatkan mereka untuk tunjuk sisi berbeza. Bakat dan ilmu ya mesti ada tapi bagaimana mahu menyerap pengalaman sewaktu pencarian serta berada dalam pertandingan itu," katanya.
Pemilihan 16 finalis (lapan lelaki dan lapan perempuan) pada edisi kali ini dilakukan dengan sangat teliti mengambil kira potensi dan bakat yang mereka tonjolkan ketika proses uji bakat dijalankan.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/20 ... ang-buat-bakat-muda
|
|
|
|
|
|
|
| |
|