View: 20501|Reply: 0
|
Hartanah di bandar paling banyak dicari
[Copy link]
|
|
Hartanah di bandar paling banyak dicari
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Kawasan bandar memperoleh carian hartanah paling banyak pada tahun ini berikutan bakal pembeli mencari rumah berhampiran tempat kerja yang boleh dikaitkan dengan dasar kembali ke pejabat yang dilaksanakan oleh lebih ramai majikan, menurut iProperty.
Dalam kenyataan hari ini, pasaran hartanah itu berkata bakal pembeli rumah turut mempertimbangkan kawasan terpilih di luar Lembah Klang disebabkan fleksibiliti kerja.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my) Sheldon Fernandez berkata hartanah bandar menawarkan beberapa kelebihan kepada mereka yang bekerja di pejabat seperti ketersambungan yang sangat baik dan akses mudah ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam, memberikan masa perjalanan yang lebih singkat.
"Kawasan bandar juga sering menjadi pusat aktiviti, menawarkan pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, restoran dan kemudahan rekreasi. Justeru, kawasan tersebut dapat menarik mereka yang mencari gaya hidup dinamik di luar waktu kerja.
"Gabungan faktor ini menjadikan kehidupan bandar sangat sesuai untuk golongan profesional yang bekerja di pejabat. Trend ini menekankan daya tahan dan kebolehsuaian pasaran hartanah," katanya.
Sheldon Fernandez berkata pemaju turut menyesuaikan strategi mereka untuk memenuhi pilihan pembeli rumah yang berubah-ubah seiring dengan pasaran hartanah yang terus berkembang.
"Pembangunan bercampur yang menggabungkan aspek kediaman, komersial dan rekreasi kini dalam perancangan oleh beberapa pemaju.
"Pembangunan ini berpotensi untuk mengubah daerah pusat perniagaan (CBD) daripada tertumpu kepada pejabat semata-mata kepada hab yang pelbagai fungsi apabila penduduk boleh tinggal, bekerja dan bermain," katanya.
Menurut iProperty, Petaling Jaya menjadi kawasan yang paling popular dicari oleh pembeli rumah pada tahun ini berikutan jaringan lebuh raya dan pengangkutan awam, selain pelbagai kemudahan, menjadikannya destinasi tempat tinggal yang ideal bagi penduduk bandar.
Katanya Mont Kiara menduduki tempat kedua untuk kawasan paling banyak dicari berikutan kemudahan sedia ada dan sekolah antarabangsa berprestij serta kedudukannya yang strategik di antara Damansara Heights, Bangsar dan Pusat Bandar Kuala Lumpur, ditambah dengan akses mudah melalui lebuh raya utama, membolehkan akses cepat ke bandar utama.
Menurut iProperty, Johor Bahru menduduki tempat ketiga, menyaksikan jumlah transaksi hartanah di Johor Bahru semakin meningkat, kerana pencari hartanah memburu tawaran sebelum pembukaan sistem transit pantas (RTS) Johor Bahru-Singapura, yang dijangka siap pada akhir 2026.
Selain itu, katanya langkah untuk melonggarkan syarat program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H), ditambah dengan kenaikan kos sewa di Singapura, boleh meningkatkan lagi jualan hartanah di Johor.
Sementara itu, katanya kawasan lain yang termasuk dalam senarai 10 kawasan yang paling banyak dicari oleh pembeli rumah ialah Cheras, Puchong, Bukit Jalil, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Subang Jaya, Bangsar dan Cyberjaya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/bisnes ... aling-banyak-dicari
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|