CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 34702|Reply: 0

Acuan pembangunan Islam

[Copy link]
Post time 25-12-2023 05:48 PM | Show all posts |Read mode
Acuan pembangunan Islam


FOTO HIASAN

Sesuatu pembangunan sudah tentu dicorak berasaskan acuannya yang tersendiri. Misalnya, dalam teori pembangunan lazim, pembangunan dikatakan muncul hanya daripada dua acuan falsafah. Pertama, falsafah pasca-klasikal, manakala kedua, falsafah radikal. Adapun pembangunan berteraskan Islam, ia dicorak berasaskan acuan tasawur Islam.

Tasawur Islam yang dimaksudkan di sini ialah gambaran komprehensif dan hakiki mengenai Islam. Ia bertujuan menjelaskan prinsip asas Islam secara benar dan menyeluruh, sehingga menjadi asas kepada pandangan hidup dan bersebati dalam diri orang yang benar-benar memahaminya.

Umumnya, al-Qur'an secara langsung dan tidak langsung telah menggambarkan tentang terdapatnya tiga pokok utama tasawur Islam ini. Pertama, Allah SWT sebagai Pencipta; kedua, manusia sebagai makhluk; dan ketiga, alam semesta juga sebagai makhluk.

Jadi setiap orang yang mendapat gambaran bentuk Islam yang hakiki dan memahami secara keseluruhan prinsip asas Islam yang terkandung dalam al-Qur'an serta beramal dengannya, tentu mampu membawa kepada kemurnian peribadi Islam dan kecemerlangan hidup masyarakat Islam di dunia dan di akhirat.

Jika dilihat kepada pembangunan berteraskan Islam yang dicetuskan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, tasawur Islam dijadikan asas atau acuan dalam pembentukan pembangunannya tulen. Ia pada asasnya adalah tapak bagi setiap aspek kehidupan manusia, manakala prinsip pembangunan berteraskan Islam adalah tapak khusus bagi pembangunan. Daripada tasawur Islam inilah lahirnya prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam yang lain.

Misalnya, prinsip pembangunan berteraskan Islam yang kedua (manusia sebagai pelaku pembangunan) lahir daripada tasawur Islam yang meyakini bahawa manusia makhluk Allah SWT. Prinsip pembangunan berteraskan Islam yang ketiga (alam roh, alam dunia dan alam akhirat sebagai skala waktu pembangunan), keempat (ilmu fardu ain kerangka pembangunan), kelima (ibadah sebagai perkaedahan pembangunan) dan keenam (mendapat keredaan Allah SWT sebagai matlamat akhir) pula berhubung rapat dengan tasawur Islam yang meyakini bahawa Allah SWT adalah Pencipta, manakala prinsip pembangunan berteraskan Islam yang ketujuh (sumber alam sebagai perkaedahan pembangunan) pula lahir daripada tasawur Islam yang meyakini bahawa alam semesta adalah makhluk Allah SWT.

Oleh sebab tasawur Islam yang mencorakkan segala kehidupan manusia, maka Profesor Emeritus Dr Muhammad Syukri Salleh dalam bukunya  Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam  berpendapat pembangunan yang muncul daripada tasawur lazim iaitu yang didukung kuat oleh sistem liberal-kapitalis dan sosialis-komunis bukanlah pembangunan berteraskan Islam yang hakiki. Selagi ia tidak membebaskan diri daripada ikatan tasawur lazim, selagi itulah ia terperangkap dalam paradigma lazim. Selagi ia terperangkap dalam cengkaman tasawur lazim, selagi itulah pembangunan itu tidak boleh dikatakan pembangunan berteraskan Islam.

Sebenarnya al-Qur'an telah menjelaskan implikasi pembangunan yang tidak dibina berteraskan tasawur Islam. Misalnya peristiwa yang menimpa kerajaan Saba' pada tahun 120 sebelum masehi. Suatu projek besar iaitu Empangan Ma'rib telah didirikan oleh Kerajaan Saba' dengan didukung oleh rakyatnya yang sangat kuat berusaha.

Empangan ini mampu membekalkan air selama tiga bulan kepada penduduk Saba' ketika musim kemarau. Air dari empangan ini dialirkan melalui saluran-saluran untuk mengairi daerah pertanian seluruh negeri Saba'. Dengan terbinanya Empangan Ma'rib ini, negeri Saba' berjaya mencapai kemakmuran yang paling tinggi. Kemuncak kemakmuran negeri Saba' ialah apabila penduduknya berjaya membina dua taman tergantung yang cukup indah dan dibina dengan teknik tercanggih pada zaman itu.

Kemakmuran negeri Saba' walau bagaimanapun tidaklah kekal lama. Kemakmuran dan pembangunan yang dikecapi menyebabkan penduduk Saba' lupa dan berpaling daripada agama Allah SWT. Mereka tenggelam dalam kekufuran dan bermacam-macam kemewahan dunia. Akhirnya Allah SWT menghancurkan kaum Saba'.

Empangan Ma'rib runtuh dan menyebabkan berlakunya  sayl al-'Arim  (banjir al-Arim). Kesannya kebun, taman dan ladang pertanian yang diusahakan oleh kaum Saba' sejak sekian lama telah musnah sama sekali. Berikutan peristiwa ini kaum Saba' mengalami kemelesetan ekonomi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kebun yang berisi dengan pohon yang pahit buahnya, dan pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur." (Surah Saba', ayat 16-17)

Jika diteliti, pembangunan yang dibina Kerajaan Saba' jelas hanya mementingkan aspek hubungan mendatar (hubungan sesama manusia) dan mengetepikan hubungan menegak (hubungan dengan Allah SWT). Pengutamaan keupayaan ekonomi seperti memaksimumkan pengeluaran dan penggunaan oleh kaum Saba' telah menafikan Allah SWT sebagai Pencipta dan sekali gus menafikan keredaan-Nya (mardat Allah) yang seharusnya dijadikan matlamat akhir.

Selain itu, fungsi manusia juga turut bertentangan dengan elemen asas tasawur Islam yang kedua iaitu manusia sebagai makhluk (hamba dan khalifah Allah SWT). Bagi mereka, manusia dianggap makhluk ekonomi yang fungsinya hanya mengeluar dan mengguna semata-mata. Hal ini dibuktikan dengan kenyataan yang dikemukakan oleh Mill dalam bukunya  Essays on Some Unsetteled Questions of Political Economy  yang bermaksud: "Manusia hanya berkeinginan mengumpul harta kekayaan dengan apa cara sekalipun, walaupun dengan cara menindas orang lain atau orang bawahannya. Paling penting bagi mereka adalah kedudukan dalam masyarakat atau status. Mereka tidak menghiraukan orang lain atau tujuan lain, kecuali mereka terus mengamalkan penindasan ke atas orang lain dan sentiasa ingin mendapatkan keseronokan sesuka hati walau terpaksa menanggung kos yang banyak.

Sedangkan berdasarkan tasawur Islam, Profesor Emeritus Dr Muhammad Syukri Salleh dalam bukunya  Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam  menjelaskan manusia selaku makhluk Allah SWT mempunyai fungsi yang lebih khusus daripada itu. Aktiviti pengeluaran dan penggunaan hanyalah sebahagian sahaja daripada alat untuk manusia menjalankan atau mempertahankan fungsi khusus yang dipertanggung- jawabkan ke atas mereka iaitu sebagai hamba dan khalifah di bumi ini. Fungsi khusus manusia dalam teori ilmu pembangunan berteraskan Islam sebagai hamba dan khalifah ini direalisasikan menerusi dua dimensi perhubungan. Fungsi manusia selaku hamba Allah SWT direalisasi menerusi hubungan menegaknya dengan Allah SWT (habl min Allah) selaku Pencipta. Manakala fungsi sebagai khalifah direalisasikan dalam hubungan mendatar sesama manusia dan sumber alam selaku makhluk Allah SWT (habl min al-nas).

Atas sebab itu, teori ilmu pembangunan berteraskan Islam mesti dicorakkan daripada acuannya sendiri iaitu daripada epistemologi dan tasawur Islam. Tidak boleh ada sistem pembangunan berteraskan Islam yang lahir daripada campur aduk antara epistemologi dan tasawur Islam dengan epistemologi dan tasawur lazim. Dengan ini tidak boleh ada percampuran antara isme-isme lain dalam Islam seperti kapitalisme Islam atau sosialisme Islam. Hanya dengan epistemologi dan acuan tasawur Islam sendiri sahajalah akan lahir pembangunan Islam tulen.

Jelaslah tasawur Islam adalah perkara asas dan prinsip paling utama dalam pembangunan berteraskan Islam. Begitu juga dalam pelaksanaan Gagasan Malaysia Madani, ia juga mesti beracuan tasawur Islam. Perkara ini patut diberi penekanan oleh para pelaksana pembangunan berteraskan Islam.  

Penulis Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... n-pembangunan-islam

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-12-2024 01:59 AM GMT+8 , Processed in 0.036965 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list