"Saya mohon maaf kerana sudah melukakan hati banyak pihak termasuk keluarga." Demikian kata anak perempuan kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim, iaitu Marissa Dania Hakim mengenai keputusan bernikah dengan jejaka berstatus suami orang dikenali Aslam secara senyap, Disember lalu. Marissa ketika dihubungi Harian Metro turut meminta maaf kepada semua pihak kerana mengambil masa yang lama untuk membuka mulut mengenai kontroversi pernikahannya dengan Aslam. "Saya bukan mahu mengelak atau melarikan diri, sebaliknya saya mahu menjaga nama baik keluarga dan semua pihak yang terbabit. "Ini adalah jalan yang saya dan Aslam pilih (hidup berpoligami). Jadi, saya mohon semua pihak beri ruang untuk kami menyelesaikan masalah rumah tangga tanpa campur tangan pihak luar. "Insya-Allah, semuanya akan baik-baik sahaja. Saya sedang berusaha ke arah itu dan doakan semoga semuanya berjalan lancar," katanya. Ditanya mengenai hubungan Aslam dengan ahli keluarganya, Marissa berkata, dia bersyukur apabila mereka membuka pintu kemaafan dan menerima kehadiran Aslam. "Saya akui pernikahan kami mendapat tentangan daripada keluarga. Tiada ibu bapa yang bersetuju dengan pilihan seperti ini, lebih-lebih lagi usia saya yang masih muda. "Saya dan Aslam tidak mahu hubungan kekeluargaan ini terputus atau dilanda masalah. Jadi kami kuatkan semangat dan harunginya bersama. "Walau apapun rintangan yang datang, saya dan Aslam akan cuba selesaikan masalah yang berlaku satu demi satu," katanya. Dalam masa sama, Marissa enggan menyentuh atau memberi sebarang komen mengenai hubungan dengan madunya, Umisya Mazlan. "Doakan semoga semuanya baik-baik saja untuk kami berdua," katanya.
|