|
KIMMICH (kanan) menanduk masuk gol kemenangan Bayern Munich. FOTO REUTERS
Munich: Mikel Arteta mengakui Arsenal dihukum kerana melakukan satu kesilapan besar yang membolehkan Bayern Munich menang 1-0, sekali gus mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.
Tandukan Joshua Kimmich pada babak kedua menghukum kesilapan benteng Arsenal dan meranapkan impian mereka untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2009.
The Gunners kecundang 2-3 secara agregat di suku akhir selepas seri 2-2 pada aksi pertama di utara London, minggu lalu.
Ia adalah pengalaman menyakitkan bagi pengurus Arsenal, Arteta, yang mengakui kesilapan benteng pada perlawanan kedua itu memusnahkan impian mereka.
"Ketika ini, suasana di bilik persalinan sangat menyakitkan. Saya tidak menemui perkataan sesuai untuk menaikkan semangat mereka. Saya harap begitu," kata Arteta.
"Kami berjuang dan mencuba apabila berdepan pasukan cukup berpengalaman. Sepanjang perlawanan, jurang sangat kecil.
"Ada ketikanya kami lebih baik, tetapi melepaskan dua gol. Ia kelebihan besar yang dilepaskan.
"Hari ini, anda boleh lihat jurang kesilapan tidak berbeza. Tetapi, kami melakukan satu kesilapan besar ketika bertahan menyebabkan gawang dibolosi.
"Selepas itu, keadaan menjadi sukar. Kami mencuba melalui pelbagai cara, tetapi situasi memang sukar."
Kekalahan itu Arsenal meneruskan empat hari yang kejam buat Arteta, selepas pasukannya terlepas kedudukan tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tewas 0-2 di tempat sendiri di tangan Aston Villa, Ahad lalu.
Tetapi, pengendali dari Sepanyol itu menegaskan pemainnya berhak dipuji kerana layak ke suku akhir UCL dan mengakui masa diperlukan untuk membangunkan kualiti bagi menguasai Eropah.
"Ini adalah saat untuk bersama dan memberi sokongan kepada pemain. Mereka membawa kami dalam perjalanan sejauh ini," kata Arteta.
"Kami tidak merasai pengalaman UCL selama tujuh tahun. Anda mahu kembali bermain untuk tahun pertama dan kemudian ke separuh akhir dan final.
"Kami inginkan pengalaman seperti itu, tetapi anda boleh lihat banyak kelab yang memerlukan enam atau tujuh tahun untuk mara sejauh itu."
Bayern akan menentang Real Madrid di separuh akhir yang menyaksikan pengurusnya, Thomas Tuchel muncul pengendali Jerman pertama berjaya membawa tiga pasukan berbeza mara sejauh itu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ich-singkir-arsenal |
|