|
ZULFADLI Syahrul dan Norfarrah Syahirah Shaari reda dengan ujian Allah SWT. FOTO Ihsan Norfarrah Syahirah Shaari
Gombak: "Ikutkan hati memang sedih tapi bersyukur kerana Allah SWT beri peluang rasa macam mana jadi ibu hamil walaupun cuma sekejap," luah Norfarrah Syahirah Shaari, 36, Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal kudung kedua belah tangan yang mengalami keguguran Sabtu lalu selepas hampir dua bulan hamil.
Norfarrah Syahirah yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Kolej Komuniti Selayang di sini berkata, apa yang berlaku amat menyedihkan kerana dia dalam fasa gembira selepas disahkan hamil Ramadan lalu.
"Bila dapat tahu hamil memang seronok… ibarat hadiah dalam Ramadan oleh Allah SWT selepas setahun mendirikan rumah tangga.
"Saya dan suami serta keluarga teruja tapi apakan daya, kita hanya merancang tapi Allah SWT menentukan. Cuma terharu juga apabila ramai yang mendoakan dan beri kata semangat selepas tahu saya mengalami keguguran," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sementara itu, suaminya, Zulfadli Syahrul, 34, berkata, dia reda dengan apa yang berlaku walaupun turut sama bersedih selepas mengetahui isterinya mengalami keguguran.
"Saya tahu isteri keguguran selepas pulang ke rumah dan nampak dia menangis dalam keadaan tumpah darah.
"Tanpa berlengah, saya bawa isteri ke Hospital Selayang dan mujurlah keadaannya stabil. Dia memang sedih sangat namun saya tenangkan dan beri semangat supaya terima ujian Allah SWT dengan lapang dada," katanya.
Norfarrah Syahirah mula mendapat perhatian selepas tular videonya pada 2019 yang menunjukkan kebolehannya menggunakan kaki untuk melakukan kerja harian termasuk memandu kereta.
Wanita itu sekali lagi mendapat perhatian apabila berkahwin dengan Zulfadli pada 23 Julai tahun lalu selepas mengikat tali pertunangan pada 20 November 2022.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... 2-bulan-sahaja-dulu |
|