|
KEADAAN kereta Perodua Bezza milik Abdul Hayyi yang remuk dihempap pokok di Jalan Sultan Ismail, Selasa lalu.
PETALING JAYA – “Itu (kereta) sumber pendapatan utama kami dan saya sedang fikir bagaimana mahu cari rezeki lagi.”
Demikian luahan pemandu kereta Perodua Bezza berwarna merah, Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, apabila kenderaan yang digunakan untuk mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing musnah akibat dihempap pokok tumbang Selasa lalu.
Menurut Abdul Hayyi, dia kini hilang punca pendapatan apabila satu-satunya kenderaan yang menjadi sumber mata pencariannya musnah dalam insiden berkenaan di Jalan Sultan Ismail di sini.
“Pendapatan saya bergantung sepenuhnya dengan hasil daripada buat Grab, dan kereta itu adalah satu-satunya pengangkutan yang saya dan isteri miliki,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Abdul Hayyi yang baru sebulan berkahwin turut tular di laman TikTok selepas berkongsi video keretanya yang total lost selepas dihempap pokok bagaimanapun reda dengan ketentuan takdir terhadap dirinya.
“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan menghantar penumpang warga Sweden ke Wisma Hong Leong kira-kira 1.4 kilometer lagi daripada kawasan kejadian.
“Saya yang berada di lorong paling kiri terkejut apabila sebatang pokok besar tiba-tiba tumbang dan jatuh betul-betul di atas bumbung kereta,” ujarnya.
Ujar Abdul Hayyi Al Hakimi, dia bagaimanapun sempat mengelak dan membongkokkan badan ke stereng sebelum pokok itu terkena padanya.
“Saya nampak pokok itu mahu tumbang tapi tiada ruang untuk menyelamatkan diri kerana keadaan jalan raya agak sesak ketika itu.
“Dalam kekalutan itu, saya sempat mengelak ke arah kiri dan bongkokkan badan mendekati stereng serta pasrah sahaja dengan ketentuan Ilahi kerana tidak mampu berbuat apa-apa lagi,” katanya.
ABDUL HAYYI amalkan selawat 1,000 kali sejak tiga tahun lalu.
Ujarnya, dia bersyukur kerana mengalami kecederaan ringan dengan luka kecil di tangan kanan, dahi, kaki dan dada.
“Selepas kereta terhenti, dalam keadaan sedar, saya dibawa keluar dari kereta dengan bantuan orang awam melalui tempat duduk penumpang sebelum pihak berkuasa sampai.
“Sebelum kejadian, saya sempat tunaikan solat zuhur di masjid dan berdoa supaya Allah permudahkan segala urusan serta dijauhi daripada bala bencana, mungkin itu menjadi asbab saya masih terselamat sehingga hari ini.
“Saya juga amalkan selawat 1,000 kali sejak tiga tahun lalu, alhamdulillah mungkin kesihatan saya hari ini adalah berkat daripada zikir-zikir itu,” ujarnya.
Tambahnya, buat masa ini dia mahu rehatkan diri terlebih dahulu dan masih lagi fikirkan cara untuk mencari pendapatan selepas kejadian itu. -KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... sebab-amalan-zikir/ |
|