|
BAS yang terbalik di KM 265 Plus arah selatan pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba Perak
Ipoh: Seramai 41 individu yang dalam perjalanan menuju majlis keagamaan berdepan detik cemas apabila bas persiaran dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di KM 265 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan, di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, semua 41 mangsa termasuk pemandu bas itu hanya cedera ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan berhubung kejadian diterima jam 7.28 pagi tadi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke lokasi dibantu anggota BBP Kuala Kangsar.
Katanya, selain bas berkenaan, sebuah kereta sedan turut terbabit dalam kejadian itu yang menjadikan keseluruhan mangsa seramai 42 orang, bagaimanapun pemandu kereta itu tidak cedera.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kupang, Kedah menuju Ipoh bagi menghadiri upacara keagamaan itu namun terbabas apabila memasuki longkang saliran di bahu jalan.
"Bas itu terbalik ke dalam longkang di sisi kiri lebuh raya. Mangsa sudah dibawa ke hospital dengan kebanyakan mangsa cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menggunakan dua unit jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan selain bantuan daripada ambulans Kementerian Kesihatan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... cedera-bas-terbalik |
|