Edited by intan_smsb at 15-5-2024 12:46 PM
Bagi pemilik kucing, sangat penting untuk kita sentiasa menjaga kesihatan si comel berkenaan, sama ada daripada segi pemakanan mahupun kebersihan. Semua sudah maklum, kucing yang dibela di dalam rumah biasanya menggunakan pasir khas untuk mereka 'membuang'. Bagi kucing kampung yang selalu 'outdoor', tidak jadi masalah sebab kawasan bertanah yang lapang di sekeliling rumah boleh menjadi tempatnya untuk 'membuang'. Namun bagi kucing 'indoor' lebih-lebih lagi dibela dalam rumah pangsapuri misalnya, memang akan bergantung dengan pasir khas saja. Terdapat banyak jenis pasir najis kucing yang dijual di pasaran. Ada yang berwarna putih seakan kristal, ada yang berwarna coklat macam palet dan bermacam-macam lagi jenis yang ada. Namun tahukah anda, sebenarnya jenis-jenis pasir ini sesuai digunakan mengikut keadaan tertentu. Mari ikuti perkongsian pemilihan enam jenis pasir kucing (cat litter) oleh saudara Anas Abu Amsyar di bawah ini. Semoga bermanfaat. Pemilihan pasir kucing (cat litter)Pasti semua pemilik kucing tahu ada beberapa jenis pasir kucing atau cat litter yang dijual di pasaran. Ok, kali ni abang nak cerita dan review sikit jenis-jenis pasir kucing yang terdapat di pasaran serta pendapat peribadi abang berdasarkan sedikit pengalaman abang.
1) Bentonite@clay Litter
Bentonite @ clay litter ni, adalah jenis yang paling banyak dijual di pasaran. Disebabkan faktor harga yang agak murah. Ada dua jenis clumping atau non-clumping. Jenis clumping mudah diuruskan. Air kencing atau najis akan membentuk gumpalan dan memudahkan untuk abang. Pros: harga mampu milik, najis mudah diuruskan.
Cons: agak berdebu, senang melekat kepada bulu kucing terutamanya jenis 'long hair', tidak mesra alam (environmental friendly), senang mengotorkan permukaan lantai jika najis tidak diuruskan dengan betul dan kerap.
2) Wood pallet
Wood pellet adalah sisa kayu yang dibentuk menjadi bentuk pellet. Pengalaman abang, wood pellet agak bagus untuk mengawal bau dan mesra alam disebabkan sisa wood pellet mudah terurai. Kebiasaannya pemilik shelter atau individu yang membela kucing dalam kuantiti yang banyak akan memilih wood pallet sebagai litter.
Agak praktikal dan menjimatkan. Wood pellet yang terkena air kencing akan terurai menjadi habuk dan debu. Penggunaan litter box berpenapis (sieve) akan memudahkan pengurusan najis. Pros: sesuai untuk yang membela banyak kucing, bagus untuk mengawal bau.
Cons: berdebu, tidak sesuai untuk mereka yang ada masalah pernafasan, masa untuk pengurusan najis lebih panjang jika tidak menggunakan litter box yang sesuai.
3) Tofu litter
Kebelakangan ini, penggunaan tofu agak popular dalam kalangan pemilik kucing. Tofu selamat untuk anak kucing jika dimakan atas faktor plant based. Agak praktikal untuk mereka yang tinggal di kediaman bertingkat (apartment, flat dan kondominium) kerana sisa najis tidak perlu dibawa turun untuk dibuang disebabkan tofu boleh di 'flush' ke dalam tandas. Pendapat peribadi abang, tofu tak sesuai untuk digunakan dalam persekitaran yang lembab terutamanya bilik yang berhawa dingin. Memudahkan jangkitan bakteria, fungus dan kekotoran jika najis tidak diuruskan dengan kerap. Pros: selamat untuk anak kucing jika termakan, 'flushable' ke dalam tandas.
Cons: boleh mengundang bakteria jika tidak ditukar dengan kerap, sesetengah tofu litter agak berhabuk, masam jika tempoh penggunaan lama.
4) Corn litter
Penggunaan corn litter agak meluas di negara luar terutamanya negara yang menjadikan jagung sebagai komoditi utama. Cuma di Malaysia, harganya agak mahal. Bagus untuk pengawalan bau, dan ringan berbanding jenis litter yang lain. Pengalaman abang, corn litter 'indah khabar dari rupa'. Di paket pembungkusan tertera best cat litter dan best clumping. Hakikatnya, clumping corn litter tidak sebaik bentonite dan tofu. Mudah berderai dan memerlukan tempoh yang panjang untuk menguruskan najis. Pros: bagus untuk mengawal bau, ringan.
Cons: berdebu, agak mahal dan clumping issue.
5) Paper litter
Paper litter adalah gulungan kertas yang dibentuk menjadi bentuk pellet. Tapi ada paper litter yang berbentuk cebisan kertas. Biasanya digunakan oleh vet untuk kucing yang baru selesai menjalani pembedahan atau kecederaan. Pemilik kucing juga boleh menggunakan kertas surat khabar yang dicarik sebagai litter.
Pros: sesuai untuk kucing yang cedera atau baru selesai menjalani pembedahan.
Cons: hanya untuk tempoh sementara, tidak menyerap bau, tidak clumping dan litter box mudah kotor dengan najis.
6) Crystal @ Silica Litter
Crystal litter ni favourite abang. Paling terbaik untuk mengawal bau. Pasir kristal juga sesuai untuk kucing yang mengalami kecederaan atau yang telah menjalani pembedahan. Pasir kristal menyerap lembapan dan air. Jadi najis akan menjadi kering dan mudah diuruskan.
Kristal yang asalnya berwarna putih, akan menjadi kekuningan jika terkena air kencing. Cuma harga pasir kristal agak mahal. Tapi abang ada alternatif untuk jimatkan kos. Pasir kristal boleh dibasuh dan dikeringkan untuk penggunaan ulangan (reuse). Pros: paling bagus dalam aspek pengawalan bau, tidak melekat pada bulu kucing, tidak berhabuk.
Cons: mahal, tidak sesuai untuk anak kucing (susah nak scoop sebab saiz najis kecil).
Cukup lah abang share 6 jenis litter ni dulu walaupun terdapat beberapa lagi jenis litter seperti grass litter, wheat litter, palm oil compose litter, sawdust litter dan lain-lain lagi atas faktor kesukaran mendapatkannya di pasaran Malaysia. Apa pun, praktikaliti dan pemilihan pasir kucing bergantung kepada komitmen dan poket masing-masing ya. Hormatilah perbezaan pendapat masing-masing dan elakkan perbalahan sesama kita. Akhir kata, salam akhir Ramadan dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk semua muslim.
|