|
BERTUBUH kecil molek menjadikan Irdina tampak comel tunggang motosikal GPX Demon 150GR dibeli menggunakan wang simpanannya.
Gombak: Bertubuh genit dengan ketinggian hanya 146 sentimeter (sm) membolehkan Irdina Mohd Azman tampak comel ketika menunggang sportbike GPX Demon 150GR.
Malah, lebih mengujakan penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak itu sebenarnya baru belajar menunggang motosikal sejak April lalu.
Malah, jentera roda dua yang dibeli menggunakan wang simpanan wanita berkenaan juga adalah motosikal pertama ditunggangnya.
Berkongsi kisahnya, Irdina, 23, berkata, dia meminati bidang permotoran sejak kecil, namun insiden 'pahit' kakaknya ketika belajar menunggang motosikal membuatkannya takut menunggang jentera itu.
Menurutnya, dia nekad mencabar diri melawan rasa takut dan mula menyimpan upah kerja sambilan dilakukan setiap hujung minggu untuk membeli motosikal idaman selain turut belajar menunggang jentera itu dengan rakan.
"Sekarang ramai wanita menunggang motosikal termasuk berkuasa tinggi, tetapi saya bukan hanya ikut trend semata-mata sebaliknya ini minat terpendam saya sejak kecil.
"Kebetulan rakan juga ramai menunggang motosikal, jadi itu lebih menaikkan semangat saya untuk melawan rasa takut dan belajar menunggang motosikal," katanya ketika dihubungi.
Katanya, dia membeli motosikal terpakai dengan harga RM3,500 dan melakukan ubah suai seperti menukar rim bersaiz 14 inci kepada bersaiz 17 inci menjadikan jentera berkenaan lebih tinggi.
"Sebenarnya kaki saya tak cecah lantai, yang cecah pun hanya hujung jari kaki saja, itu pun saya perlu sengetkan badan sedikit ketika berada atas motosikal.
"Ada yang mengusik saya kerana kaki tidak sampai, ada yang mengatakan nampak comel. Saya segan apabila orang komen seperti itu dan ada juga sangka saya budak sekolah," katanya.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia mengambil masa beberapa bulan untuk mahir menunggang kerana motosikal itu agak berat buat dirinya.
Menurutnya, pada masa sama dia perlu belajar untuk mengimbangi dan mengawal jentera itu supaya tidak terjatuh.
"Banyak kali juga saya terjatuh dan belajar di parkir kenderaan saja, malah takut menunggang di jalan raya, biasanya hanya dalam kampus saja. Tetapi, sekarang saya sudah berani menunggang di jalan raya," katanya.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat itu berkata, bapa, Mohd Azman Hamzah, 54, dan ibunya, Siti Zaleha Kaliwan, 49, memberikan sokongan penuh sambil memintanya untuk sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal.
"Saya juga ada impian untuk menukar kepada motosikal berkuasa tinggi, namun buat masa ini belum lagi kerana harga jentera itu 'keras' (mahal)," katanya yang berasal dari Klang, Selangor.
Terdahulu, perkongsian Irdina yang menunggang motosikal sportbike meraih perhatian netizen di TikTok yang memuji wanita bertubuh kecil itu mampu menunggang jentera berkenaan dengan berpenampilan sopan dan comel.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... api-kaki-tak-sampai |
|