|
BENGANG namanya sekali lagi dipergunakan untuk penyebaran iklan kononnya pernah menderita arthritis atau radang sendi, penyanyi Datuk Sheila Majid tampil menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu.
Ujar Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, 59, paparan berita palsu yang menggunakan nama media tertentu itu juga merepek apabila menyatakan dia terpaksa berkerusi roda akibat penyakit tersebut.
Memang mengarut, berita ini tidak benar. Lima tahun lalu, saya sibuk dengan kerja dan melancong sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Kalau benar saya menderita penyakit ini, tentu media tempatan sudah menyiarkan berita ini lima tahun lalu. Kenapa baru sekarang,” tulisnya dalam Instagram.
Melalui perkongsian sama, Ratu Jazz itu juga mempersoalkan tindakan pelaku yang sanggup mempergunakan namanya demi mengaut keuntungan secara mudah.
Kenapa perlu menipu semata-mata mahu melariskan produk? Adakah anda tidak mempunyai keyakinan hingga terpaksa mengaitkan nama saya demi menjual produk?
“Produk anda palsu, sama dengan artikel ditulis,” luahnya merujuk keratan berita yang disertakan dalam hantaran itu.
Sheila menegaskan tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan memburu dalang yang didakwa dilakukan individu sama dan pernah memfitnahnya sebelum ini.
Saya sedang mencari pelaku yang sebelum ini pernah menuduh saya menggunakan produk pelangsing badan, namun kenyataan mereka tidak disertakan bukti.
“Sehingga kini saya masih gagal mengesan sumber terbabit. Mereka tahu cara untuk manipulasi situasi dan menyembunyikan diri.
Saya mohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bantu saya mengesan mereka supaya tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka,” katanya.
Sebelum ini nama Sheila juga pernah ‘dijaja’ dalam laman sosial kononnya dia meninggalkan dunia hiburan selepas pembabitan dengan satu jenama memberi keuntungan lumayan.
Sumber – HIBGLAM
|
|