CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 35522|Reply: 0

[Sarawak] Yayasan Sarawak anjur Ekspo Pendidikan Sarawak di semua daerah pada 27 Julai

[Copy link]
Post time 24-7-2024 03:25 PM | Show all posts |Read mode


Mersal (empat kiri) menyerahkan geran bagi penganjuran Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 kepada wakil Pejabat Daerah seluruh Sarawak pada sidang media hari ini.

KUCHING: Yayasan Sarawak akan menganjurkan Ekspo Pendidikan Sarawak secara serentak di semua daerah membabitkan 43 lokasi seluruh negeri ini pada 27 Julai 2024.

Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli berkata, ekspo itu bertujuan menyediakan landasan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mengenai peluang pendidikan yang ditawarkan di institusi di bawah Yayasan Sarawak.

Untuk makluman katanya, seramai 32,588 pelajar telah menduduki peperiksaan SPM di Sarawak tahun lepas dan kini mereka sedang menunggu surat tawaran sama ada berjaya melanjutkan pelajaran atau sebaliknya ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Begitu juga dengan lepasan STPM 2023 yang mana keputusan mereka akan diumumkan hari ini.

“Justeru, kita mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan ekspo sebegini bagi menyebar maklumat mengenai peluang pendidikan yang ada di Sarawak khususnya institusi di bawah kelolaan Kerajaan Sarawak atau Yayasan Sarawak kepada pelajar terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 di Auditorium Yayasan Sarawak di sini, hari ini.

Menerusi inisiatif sebegini, Mersal yakin dapat membantu sekali gus membolehkan pelajar lepasan SPM dan STPM melanjutkan pelajaran masing-masing sama ada mengikuti kursus bercorak akademik atau kemahiran.

Pada masa sama katanya, dapat menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan untuk pelajar terbabit dalam membuat pilihan yang tepat ke arah membina kerjaya yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

“Selain itu, pengunjung atau pelajar juga berpeluang mendaftar untuk memasuki institusi yang ditawarkan semasa ekspo ini, kerana mereka telah mendapat keputusan peperiksaan awam masing-masing.

“Justeru, ekspo ini akan menjadi platform terbaik untuk mereka mendapatkan maklumat pendidikan terkini dan membantu mereka membuat keputusan dan pilihan yang terbaik,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mersal memberitahu amanat dan pelancaran Ekspo Pendidikan Sarawak akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kolej Universiti i-CATS di sini, yang akan disaksikan di semua daerah secara dalam talian.

Katanya, pelancaran di peringkat daerah akan diadakan serentak sejurus selepas pelancaran oleh Abang Johari.

“Di peringkat daerah akan ada pameran, sesi kaunseling dan bimbingan oleh institusi terlibat; proses kemasukan serta pendaftaran pelajar ke IPT.

“Terdapat juga penyampaian bantuan pakaian seragam sekolah dan agihan Hadiah Cemerlang Yayasan Sarawak berupa Sijil Penghargaan dan Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM500 untuk seramai 1,504 pelajar yang berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan SPM 2023,” jelas beliau.

Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 diadakan dengan kerjasama rakan strategik Yayasan Sarawak iaitu Pejabat Residen dan Daerah seluruh Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

Antara institusi yang akan menyertai ekspo tersebut adalah Yayasan Sarawak, Swinburne University of Technology, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Curtin University, Kolej Universiti i-CATS, Kolej Laila Taib dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 06:02 PM GMT+8 , Processed in 0.049738 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list