|
KADAR bayaran pelakon teater adalah salah satu perkara yang menjadi fokus dalam pelaksanaan kontrak standard yang diumumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) awal tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, semua pelakon dan kru produksi perlu ada satu mekanisme untuk dilindungi melalui kontrak standard terbabit.
"Kita kena faham pasal kontrak ini menyeluruh kerana syarikat besar seperti Skop Productions dan Multimedia Entertainment, mereka memang ikut kontrak sedia ada, terma atau 'standard' tangga gaji minima ini.
"Saya selalu utarakan isu ini kepada 'independent' produser yang sederhana dan kecil yang kadang-kadang mengambil seseorang artis untuk berlakon tanpa sebarang kontrak.
"Bila ada isu nak dibangkitkan kepada pihak persatuan, sukar untuk kita nak 'depend' mereka (artis) kerana tiada kontrak," katanya kepada Harian Metro.
Azmir berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelakon teater mendapat bayaran rendah berbanding selebriti terkenal yang diperkatakan ramai ketika ini.
Mengenai kontrak standard ini, kata Azmir, persatuan seperti Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) terutamanya Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) yang membabitkan kru serta Persatuan Seniman Malaysia (dipimpin Zed Zaidi) mereka memang sudah mengadakan satu garis panduan tangga gaji minima sebagai rujukan untuk penggiat seni.
"Sebenarnya, saya tahu semua syarikat ada kontrak tapi kontrak standard jadi kita perlu 'pamphlet' (risalah) untuk dijadikan rujukan dalam kontrak di mana kita akan sertakan tangga gaji minima sebagai rujukan.
"Saya rasa sama juga dengan industri lain seperti Teknologi Maklumat, pembinaan pun ada 'reference' tertentu untuk mereka rujuk berkaitan tangga gaji," katanya.
Kata Azmir lagi, isu bayaran rendah kepada pelakon teater memang isu berbangkit dalam industri hiburan.
"Kita faham artis dari teater ni mereka sebenarnya lagi berkualiti dari segi penyampaian dan lakonan mereka. Kalau lihat di luar negara pun artis-artis yang hebat memiliki latar belakang dari bidang teater.
"Justeru, memang kalau boleh kita di Finas mahu pastikan perjalanan karier seseorang itu bermula dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), selepas tu masuk teater, filem pendek dan filem (layar lebar) supaya perjalanan karier seni mereka dapat lihat semua sudut dan kemahiran dalam bidang lakonan," katanya.
Ditanya isu tangga gaji penggiat seni lagi, kata Azmir, pihaknya akan meneruskan program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) yang sudah dilaksanakan satu ketika dahulu.
"Melalui program MyCAP, kita sertakan dengan 'data base'
untuk tujuan akreditasi di mana kita akan tahu mereka adalah tahap profesional, 'junior' atau baru tamat pengajian.
"Finas dalam perbincangan dengan pihak akreditasi universiti macam mana kita boleh 'upgrade' penggiat seni kita ini.
"Bila ada satu 'data base' untuk tujuan akreditasi, mereka ada satu sijil untuk dibawa ke produksi dan beritahu produser dengan ada sijil begitu, mereka patut dapat gaji sebegitu dan sama dengan badan profesional di luar sana," katanya.
Terdahulu, perkongsian pelakon Farah Ahmad, 46, mengenai nasib pelakon teater berstatus bukan selebriti atau berwajah komersial, baru-baru ini, mencetus polemik mengenai kadar bayaran ditawarkan penerbit teater terhadap penggiat seni pentas.
Melalui hantaran TikTok, Farah yang juga menantu kepada aktivis teater dan pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi meluahkan kesedihan apabila mendengar 'adik-adik' dalam industri teater yang merungut mengenai kadar bayaran berbeza dengan selebriti yang terbabit dalam pementasan sama.
|
|