CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2888|Reply: 0

[Kedah] Tangguh pengajian, kerja tukang cuci tampung kos rawatan kanser payu dara

[Copy link]
Post time 6-8-2024 11:34 AM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 6-8-2024 11:36 AM

Tangguh pengajian, kerja tukang cuci tampung kos rawatan kanser payu dara


Zuliaty Zulkiffli[email protected]







Wan Fahimah Wan Mohamad (kiri) menghidap kanser payu dara tahap tiga terpaksa menangguhkan pengajian satu semester untuk mencari wang bagi menampung kos rawatan di hospital bersama ibunya, Rodhiah Safie. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI





Kuala Nerang: Penuntut tahun akhir kursus Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al Quran dan Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNiSHAMs) Kuala Ketil terpaksa menangguhkan pengajian untuk bekerja sebagai tukang cuci bagi menampung kos rawatan kanser payu dara yang dihidapinya.

Wan Fahimah Wan Mohamad, 27, bekerja sebagai tukang cuci di tandas awam Pantai Merdeka untuk mencari sumber kewangan bagi merawat kanser tahap tiga yang ditanggungnya itu.

Katanya, dia disahkan menghidap kanser payu dara sejak Januari lalu selepas mendapati terdapat ketulan sebesar biji guli di dada kanannya.

"Pada mulanya ketulan itu kecil tetapi lama kelamaan ia makin membesar dan keras. Apabila saya kerap demam dan lesu setiap hari, saya ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil untuk pemeriksaan.

"Saya beritahu doktor berkaitan ketulan di payu dara kanan itu dan doktor kemudian meminta saya menjalani pemeriksaan lanjut ultrabunyi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepala Batas, Pedu di sini hari ini.

Menurut Wan Fahimah, selepas menjalani biopsi dua kali, doktor mengesahkan dia menghidap kanser payu dara tahap tiga dan disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk menangguh pengajian semester akhir tahun ini.

Katanya, dia berulang alik sendirian menunggang motosikal dari rumah sewanya di Taman Desa Mutiara, Kuala Ketil untuk menjalani pemeriksaan setiap dua minggu sekali di HSAH.

"Saya hanya mampu bekerja tiga minggu saja kerana tidak larat disebabkan kesihatan saya sering terganggu dan wang gaji yang dapat itu saya gunakan untuk menampung kos ulang alik dan rawatan di hospital.

"Saya tidak mahu menyusahkan keluarga kerana bapa (Wan Mohamad Othman, 56) bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ibu (Rodhiah Safie, 49) hanya berniaga kuih sejuk beku selain mempunyai enam beradik yang masih belajar.

"Saya gagahkan diri pergi dan pulang seorang diri menunggang motosikal walaupun baru selesai menjalani rawatan kemoterapi di hospital. Sekarang ini, saya sudah selesai menjalani kemoterapi enam pusingan," katanya.

Katanya, dia baru selesai menjalani pembedahan membuang sel kanser di payu dara kanan di HSAH pada 16 Julai lalu dan akan menyambung rawatan radioterapi sebanyak 15 kali pada bulan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya, dia bercadang untuk menyewa rumah berhampiran Hospital Pulau Pinang untuk memudahkan dia menjalani rawatan radioterapi.

"Sebelum ini, saya terpaksa guna wang sendiri untuk melakukan kemoterapi dan kosnya sebanyak RM53 setiap pusingan selain kos pembedahan baru-baru sebanyak RM258.

"Untuk kos radioterapi pula, berkemungkinan saya perlu mengeluarkan kos yang banyak iaitu mungkin lebih RM300 untuk setiap kali rawatan selain kos mencari rumah atau bilik sewa," katanya.

Menurutnya lagi, doktor turut mengesahkan ada ketulan di bahagian kiri payu daranya namun dia tidak putus asa untuk meneruskan rawatan di hospital.

Menurut Wan Fahimah, pada tahun 2020, dia yang sedang mengikuti pengajian di Mesir terpaksa pulang ke tanah air disebabkan negara sedang dilanda pandemik Covid-19.

"Namun, apabila saya hendak sambung semula pengajian di sana, emak dan ayah tak mampu sediakan wang untuk pengajian, jadi saya ambil keputusan untuk menyambung pengajian di sini sebelum menerima ujian penyakit ini," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu Wan Fahimah boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 152023644317 miliknya.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menziarahi pesakit ini turut menyalurkan sumbangan wang tunai daripada pihak CSM sebanyak RM1,200 untuk membantunya menampung kos rawatannya dalam waktu terdekat ini.

Katanya, rawatan pesakit kanser biasanya memakan masa yang panjang dan CSM sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan rawatan di hospital.



Disiarkan pada: Ogos 6, 2024 @ 11:06am

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/08/1119439/tangguh-pengajian-kerja-tukang-cuci-tampung-kos-rawatan-kanser-payu-dara





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-3-2025 10:58 PM GMT+8 , Processed in 0.283598 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list