CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3630|Reply: 1

[Pulau Pinang] Pernah berbaki 30 sen dalam poket, kini usahawan kraf

[Copy link]
Post time 7-8-2024 09:44 AM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 7-8-2024 09:46 AM

Pernah berbaki 30 sen dalam poket, kini usahawan kraf


Oleh Nur Izzati Mohamad - Ogos 7, 2024 @ 8:31am [email protected]








KEPALA BATAS: Ketika suami berhenti kerja, wang yang ada dalam poket hanya 30 sen sehingga kehidupan menjadi buntu.

Situasi itu membuatkan Salmila Md Desa, tidak tinggal diam, sebaliknya mahu mengubah nasib membantu suaminya, Md Zaki Md Rasdi yang berhenti kerja di sebuah kilang atas faktor tertentu.

Apatah lagi, mereka perlu menyara empat anak yang berusia 13 hingga 20 tahun yang masih belajar.

Selepas berfikir lama, Salmila, 47, kemudian mendapat idea membuat anyaman reben pada tudung saji dipelajari daripada YouTube dan Facebook.

Meskipun tiada kelayakan dalam bidang anyaman, dengan pengetahuan asas kraftangan didedahkan adik iparnya memudahkannya belajar sehingga mampu menyiapkan puluhan tempahan pelbagai corak dan saiz.



Salmila membuat tudung saji anyaman reben mengikut tempahan pelanggan dengan pelbagai corak dan saiz. - NSTP/Danial Saad

"Saya bermula sejak 2018, ketika itu suami berhenti kerja. Kami tiada sebarang pendapatan.

"Tidak mahu mengalah, saya fikir nak bantu tingkatkan ekonomi keluarga, sebab bila diingatkan masa itu duit sampai tinggal tiga kupang (30 sen) dalam poket.

"Bayangkan bagaimana mahu melalui hidup ini, jadi saya bertekad buat perniagaan kecil-kecilan dengan cara ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Putra Bertam di Kepala Batas, di sini.

Tudung saji reben disediakan tiga saiz, iaitu 12, 24 dan 26 inci dengan harga antara RM35 hingga RM100 setiap satu. Pelanggan boleh pilih corak anyaman.

"Bagi saiz tudung saji kecil proses anyaman mengambil masa satu hari, saiz sederhana dua ke tiga hari manakala besar memerlukan masa antara tiga ke lima hari disiapkan mengikut corak.

"Kerja kreatif ini memerlukan penelitian. Untuk memuaskan hati pelanggan saya tidak boleh tergopoh-gapah menghasilkan anyaman cantik dan berkualiti," katanya.

Anyaman perlu ketekunan, ketelitian


Salmila memeriksa dengan teliti selepas siap membuat tudung saji anyaman reben. - NSTP/Danial Saad

Kerja menganyam seawal jam 7 pagi menggunakan teknik sulaman mengikut contoh lakaran grafik dilihatnya dalam media sosial.

"Apabila pelanggan tempah dan pilih, saya akan kaji dengan lihat di media sosial supaya dapat gambaran bagaimana saya hendak tentukan garis-garis pada tudung saji sebelum proses anyaman bermula.

"Dua jenis reben digunakan, jenis kain dan plastik dengan lebih 20 pilihan warna antaranya hitam, biru, merah jambu, hijau dan dan kuning yang setiap sulaman dimulakan dengan penuh berhati-hati untuk mengurangkan kesilapan.

"Ketekunan sangat diperlukan hingga ada kalanya seluruh badan akan lenguh, sakit pinggang dan tangan sakit, tapi kerja ini menyeronokkan," katanya.

Bagi menyiapkan anyaman, dia dibantu anak ketiganya berusia 16 tahun yang menjadikan sebagai hobi mengisi masa lapang.

"Anak perempuan minat belajar menganyam sejak usia 12 tahun, selain anak bongsu lelaki juga minat.

"Mereka hanya bantu bila cuti sekolah. Ini dapat meringankan kerja saya yang tidak henti-henti menerima tempahan," katanya.



Antara tudung saji anyaman reben dihasilkan Salmila. - NSTP/Danial Saad

Tempahan diterima dari seluruh negara, tetapi dari Sabah dan Sarawak ditolak kerana tidak dapat penuhi permintaan.

Baru-baru ini, ada juga menerima tempatan dari Singapura, Brunei dan Filipina, juga tidak diambil kerana belum tahu lagi selok-belok untuk menghantar tempahan mereka.

"Saya juga khuatir apabila sampai tudung saji akan rosak dan saya tidak mahu ambil risiko.

"Bagaimanapun, saya sedang belajar ke arah itu (pemasaran luar dari Semenanjung). Saya impikan membuka bengkel pada masa depan," katanya sedia berkongsi ilmu bagi menghasilkan tudung saji anyaman.

Salmila juga bertukar pandangan dan berkongsi mengenai ilmu anyaman dengan rakan-rakan lain, selain mewujudkan kumpulan WhatsApps bagi tujuan sama.

Dia banyak menerima tempahan untuk dijadikan hadiah perkahwinan, hari lahir dan program keraian lain.

"Ada yang mahu beli borong, tetapi buat masa terpaksa menolak kerana tidak cukup masa menyiapkan.

"Jika ada pihak mahu menjemput mengajar, saya sudi melakukannya kerana ingin berkongsi ilmu supaya bidang ini dapat diperluaskan lagi," katanya.

https://www.bharian.com.my/gaya-hidup/wanita/2024/08/1281501/pernah-berbaki-30-sen-dalam-poket-kini-usahawan-kraf






Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-8-2024 09:48 AM | Show all posts

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

6-3-2025 11:03 PM GMT+8 , Processed in 0.942786 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list