Adalah penting bagi pemain industri seni memahami dasar kerajaan mengenai Akta Hak Cipta: Snowdan
Rashidah (dua kiri) merasmikan pembukaan sesi dialog sambil disaksikan oleh Adi (kanan) dan yang lain.
SIBU:Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan menggesa pemain industri seni memahami dasar kerajaan mengenai Akta Hak Cipta.
Katanya, adalah penting bagi pemain industri seni memahami dasar kerajaan mengenai Akta Hak Cipta.
"Mereka termasuk artis, komposer muzik, penulis lirik, pengurus, penganjur acara serta premis hiburan dan rekreasi perlu memahami perkara ini bagi memastikan pembangunan industri seni Sarawak setanding dengan industri lain.
“Mengetahui dan memahami cara melindungi hak karya seni akan terus melonjakkan industri seni Sarawak dan secara tidak langsung berpotensi meningkatkan sumber pelancongan dan ekonomi kita.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, sudah tiba masanya untuk Majlis Kesenian Sarawak (MSS) menumpukan usaha memacu sektor seni dan budaya Sarawak melalui pemulihan segera dengan membawa model dan strategi baharu untuk komuniti seni dan penggerak.
Demikain katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dialog Seni 2024 anjuran Majlis Kesenian Sarawak di sini hari ini.
Ini katanya, adalah bagi memadankan permintaan dan penawaran industri kreatif di Sarawak untuk menghasilkan karya seni yang cemerlang dan berkualiti tanpa kehilangan keunikan seni.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Tadbir Khas Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Datu Dr Rashidah Bolhassan.
Dialog perhimpunan artis dan pemain industri seni itu merupakan yang ketiga diadakan di negeri ini.
Snowdan juga berkata Sarawak memerlukan bakat baharu dengan penekanan kepada inovasi dan teknologi digital serta data selaras dengan PCDS 2030 untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan pilihan.
“Justeru, MSS, penganjur acara dan penggerak pelancongan harus menyediakan peluang, ruang dan platform kepada komuniti seni Sarawak untuk mereka membangun dan menunjukkan kapasiti dan keupayaan mereka.
“Begitu juga masyarakat seni harus bekerjasama dan bersedia menghadapi cabaran pembangunan ekonomi global,” katanya.
Beliau turut menggesa peserta dialog mengambil peluang untuk menyuarakan pandangan dan cadangan bagi membantu MSS mengenal pasti dan menganalisis isu mereka dengan pelbagai strategi.
“Bagi artis kami, komunikasi dua hala ini bertujuan memberi kesedaran, pendidikan, pengetahuan dan bimbingan ke arah perlindungan hak harta intelek dan untuk melindungi karya mereka.
"Objektif MSS untuk memperkasakan komuniti seni Sarawak akan diteruskan. Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan oleh MSS untuk memperkasakan komuniti seni dari semasa ke semasa.
“Diharapkan masyarakat seni akan mengamalkan sikap positif dalam mengangkat suara dan penyelesaian untuk kepentingan mereka sendiri,” katanya.
Turut hadir Pegawai Kebudayaan MSS Easter Melebeh dan panel dialog Datu Adi Badiozaman Tuah.
|