![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240826/ubowebfiller1.jpg)
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240830/9cdac12d-2c0e-4a1d-8b81-9ea289530974.jpeg)
RENTUNG: Mangsa yang dikeluarkan dari kenderaan terbakar diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
KOTA KINABALU: Dua individu ditemukan rentung dalam kereta yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) awal pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, identiti kedua-dua mangsa di dalam kereta jenis kompak yang musnah terbakar masih belum dikenal pasti.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.30 pagi.
“Bertindak dengan maklumat, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dengan dibantu BBP Putatan digerakkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis kompak terbakar sepenuhnya dan kebakaran tercetus selepas terbabit dalam kemalangan tiga buah kenderaan masing-masing dua kompak dan sebuah pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dari jentera bomba dan kebakaran terkawal pada jam 2.58 pagi.
"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan dua mangsa rentung.
"Kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Ordine berkata, pemandu sebuah lagi kenderaan kompak lelaki berumur 34 tahun dan pemandu pacuan empat roda berumur 22 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 pagi.
|