TINJAU: Ewon ketika membuat tinjauan di Tamu Desa Mahandoi.
PENAMPANG: Dua daripada empat Projek Tamu Desa di kawasan Penampang telah siap sepenuhnya dan kini boleh digunakan oleh komuniti peniaga dan penjaja kecil-kecilan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pembinaan Tamu Desa Mahandoi dan Inobong dimulakan pada Julai lalau dan siap sepenuhnya pertengahan bulan ini.
“Manakala Tamu Desa Babagon dan Tamu Desa Togudon pula kini dalam proses pembinaan dan dijangka siapa pada September ini.
“Saya berharap semua projek Tamu Desa yang kini dalam pelaksanaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya selepas meninjau Tamu Desa Babagon, Mahandoi dan Inobong, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, Projek Tamu Desa adalah antara inisiatif terbaru Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang mula dilaksanakan tahun ini.
Beliau berkata, secara keseluruhannya sebanyak 36 projek bina baharu dan naik taraf premis Tamu Desa di seluruh Sabah sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada Oktober ini.
Katanya, pelaksanaan fasa pertama Projek Tamu Desa melibatkan 16 pejabat daerah dan majlis perbandaran di Sabah.
Ewon berharap, kementeriannya akan terus diberikan peruntukan di bawah Belanjawan 2025 bagi membolehkan lebih banyak premis Tamu Desa dibina dan dinaiktaraf di Sabah dan Sarawak.
|