SAMPAIKAN: Robert menyampaikan simbolik dividen kepada salah seorang ahli sempena mesyuarat itu.
# Agar koperasi itu dapat maju lagi ke hadapan dan memberi manfaat kepada ahli
KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berbangga dengan kemajuan dan perkembangan yang telah dikecapi Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Apin-Apin Bingkor Berhad hari ini sejak ia ditubuhkan pada 2019.
Mengulas lanjut, Robert berkata kejayaan yang dikecapi itu merupakan hasil kesatuan dan kerjasama ahli-ahli koperasi serta kecekapan tadbir urus perniagaan yang baik oleh pimpinan koperasi.
Katanya, untuk memajukan sebuah koperasi seperti KPSM Apin-Apin Bingkor Berhad bukanlah satu usaha yang mudah tetapi atas semangat koperasi serta didasari dengan falsafah kerjasama ia dapat mengembangkan lagi potensi koperasi.
"Melalui koperasi ini, kita boleh membina jaringan (networking), memberikan komitmen serta bersatu menerusi matlamat yang utama iaitu menjaga kebajikan sesama anggota.
"KPSM hendaklah sentiasa mencabar kemampuan untuk meneroka lebih banyak peluang perniagaan yang tersedia. Melalui wadah koperasi ini juga, pelbagai kerjasama untuk faedah anggota boleh diusahakan dan tidak hanya tertumpu kepada ganjaran kewangan semata-mata.
"Pembangunan perniagaan yang lestari tidak akan dapat dicapai tanpa adanya sistem tadbir urus yang baik.
"Oleh itu, pihak pengurusan KPSM Apin-Apin Bingkor Berhad perlu memantapkan kerangka tadbir urus sedia ada bagi memastikan perjalanan pengurusan dengan lancar, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Koperasi Penanam Sawit Mampan Apin-Apin Bingkor Berhad, kelmarin.
Justeru Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor menyeru supaya barisan Anggota Lembaga, pengurusan dan anggota-anggota koperasi agar memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai bidang perniagaan, industri dan hal-hal berkaitan yang boleh membantu memajukan koperasi.
"Saya berpegang pada kepercayaan bahawa di mana ada kemahuan, di situlah jalannya akan terbentang.
"KPSM hendaklah sentiasa bergerak di dalam kesatuan dan kerjasama, Selain berupaya menjadi contoh kerjasama kepada koperasi lain, KPSM juga boleh menjadi model kerangka untuk mempelbagaikan lagi produk serta keberhasilan dalam perniagaan.
"Saya ingin melihat KPSM pada masa akan datang dapat menjadi landasan terbaik untuk menyatukan idea dan tenaga kepada pekebun kecil sawit di Malaysia. Melihat kepada potensi yang ada, saya percaya KPSM Apin-Apin Bingkor Berhad mampu menyebarkan sayapnya ke puncak kejayaan, " katanya.
|