CHEW
SANDAKAN: Rakyat perlu sentiasa hidup dalam keadaan aman dan damai serta mengamalkan sikap harmoni dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada berbilang bangsa.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, hormat menghormati dalam masyarakat berbilang kaum dan agama adalah amalan mulia rakyat Malaysia.
Katanya, walaupun pelbagai tema Hari Kebangsaan telah diguna pakai setiap tahun seperti Wawasan 2020, Rakyat didahulukan, Janji ditepati, Transformasi Nasional (TN50) tetapi masalah serta cabaran masih menghimpit masyarakat khususnya di Sandakan.
"Sandakan kini berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti perkhidmatan bekalan air yang tidak menentu, kualiti bekalan air kurang memuaskan sehinggakan rasa air berkenaan sukar diterima para pengguna.
"Masyarakat di sini juga sentiasa mengalami masalah bekalan elektrik yang tidak stabil...ini semua masalah yang dihadapi masyarakat di sini sejak dahulu lagi," katanya dalam perutusan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024.
Chew berharap, masalah yang telah wujud lebih 35 tahun itu dapat diselesaikan oleh kerajaan hari ini.
Katanya, keadaan jalan raya yang rosak, sempit serta kawasan riadah di pantai Pasir Putih dan Taman Warisan Batu Sapi yang masih tidak teratur menjadi masalah kepada penduduk Sandakan.
"Kemudahan di kawasan itu telah ketinggalan zaman dan pada masa sama ia adalah satu-satunya kawasan pantai untuk penduduk di sini bersantai pada hari kebesaran negara dan negeri ini.
"Kerajaan kini perlu bersikap positif dan mengambil inisiatif serta langkah baharu bagi membangunkan sektor pelancongan, perikanan sekali gus memperkasakan ekonomi Sandakan.
"Dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah ini, saya dan keluarga mengucapkan selamat Hari Sabah kepada semua lapisan masyarakat dan berharap impian setiap rakyat negeri ini dapat dicapai sekali gus Malaysia kekal aman serta damai," katanya.
|