SERAH: Christina (tengah) menyaksikan penyerahan surat hasrat perwakilan kuasa program Sabah-MM2H oleh Roslan kepada Mei Sing.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diberikan kuasa sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi melaksanakan program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H), baru-baru ini.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman telah menyerahkan rasmi surat hasrat perwakilan kuasa kepada kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).
Surat itu diserahkan kepada Setiausaha Tetap KePKAS, Josie Lai Mei Sing selepas mesyuarat KePKAS dan MOTAC yang berlangsung di sini, pada Rabu.
Ia susulan mesyuarat khas antara Menteri KePKAS Datuk Christina Liew dan MOTAC di Kuala Lumpur pada Julai lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan mengenai penurunan kuasa penuh kepada Sabah untuk melantik ejen negeri bagi program Sabah-MM2H.
Christina berkata, dengan perwakilan kuasa pelantikan ejen kepada negeri ini, program Sabah-MM2H akan berada di bawah pengurusan KePKAS.
Katanya, perwakilan kuasa ini merujuk kepada pelantikan ejen oleh KePKAS, pemantauan ejen, dan penguatkuasaan program.
“KePKAS juga mempunyai garis panduan sendiri untuk pelantikan dan pengeluaran lesen kepada ejen yang berdaftar.
“Ejen ini perlu mendapatkan lesen untuk beroperasi dan membantu pelanggan dalam memohon penyertaan dalam Sabah-MM2H,” katanya.
Christina berkata, jawatankuasa negeri yang menyelia operasi Sabah-MM2H dipengerusikan oleh Menteri dan berperanan menapis permohonan sebelum mengeluarkan pas MM2H kepada pemohon yang berjaya.
“Pada masa ini KePKAS sedang dalam proses menerima dan memproses permohonan ejen yang berkelayakan untuk pelantikan yang diperlukan,” katanya.
Program Sabah-MM2H diluluskan secara prinsip oleh kerajaan negeri pada Februari 2023 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Jun lalu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC (Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan) Surya Kumar A/L Subramaniam; Timbalan Setiausaha Tetap KePKAS I, Mary Malangking; Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Alesia Sion; Pengarah MOTAC Sabah, Ibrahim Othman dan Penolong Setiausaha Kanan KePKAS, Norita Tani.
|