CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8914|Reply: 0

[Sabah] Hari Sabah bukti semangat kebangsaan, rakyat tidak iktiraf tuntutan luar

[Copy link]
Post time 1-9-2024 02:09 PM | Show all posts |Read mode


HARI SABAH: Juhar bersama Hajiji serta para menteri kabinet negeri merakamkan gambar kenangan selepas menyempurnakan simbolik pelancaran Hari Sabah.
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah adalah bukti semangat kebangsaan masyarakat negeri ini untuk mendapat kebebasan dari penjajah sekali gus tidak mengiktiraf sebarang tuntutan luar ke atas Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh dipersoalkan kerana rakyat negeri ini telah memilih untuk bersama-sama membentuk Malaysia.

“Hari Sabah yang diraikan bersama-sama Hari Kebangsaan pada 31 Ogos adalah hari yang sangat bersejarah.

"Ia adalah bukti semangat patriotisme orang Sabah untuk mendapat kebebasan daripada penjajah kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Masa depan Sabah terletak ditangan kita, oleh itu marilah kita bersama-sama terutama generasi muda untuk menggembleng tenaga, berganding bahu, berusaha sebaik mungkin memastikan negeri ini terus maju dan makmur serta rakyat kekal bersatu padu.


RASMI: Juhar (tengah) bersama Hajiji serta para menteri kabinet negeri ketika di majlis perasmian itu.

“Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuhkan sistem pendidikan, membangunkan infrastruktur yang lebih baik dan memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri,” katanya sempena Sambutan Hari Sabah 2024 di Padang Merdeka, di sini pada Sabtu.

Hajiji berkata, sambutan Hari Sabah bukan hanya meraikan pencapaian tetapi juga menghargai dan mengenang kembali perjalanan panjang yang telah dilalui untuk mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri pada hari ini sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi dan memperbaiki taraf hidup rakyat.

“Matlamat kita adalah jelas, iaitu mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

"Kita percaya, dengan hubungan yang akrab dengan kerajaan Persekutuan, ia akan memudahkan segala urusan termasuk membabitkan Perjanjian MA63, atau perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pembangunan dan kenegaraan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus mendokong dasar pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya selari dengan semangat gagasan Malaysia MADANI yang menginginkan negara pesat membangun, berperanan tinggi di peringkat global, sekali gus menjadi negara yang dihormati dan disegani.

“Malah, hasil corak kepimpinan negeri yang mesra pelabur, ia menjadikan Sabah tumpuan pelabur asing dan domestik yang turut memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

"Sabah telah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion merentasi pelbagai sektor pada tahun 2023 dan telah merekodkan hasil kutipan negeri hampir RM7 bilion pada tahun yang sama.

“Kini, kerajaan Sabah sedang meneroka potensi Ekonomi Biru melibatkan penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu serta produk yang boleh dihasilkan daripada industri itu.



MESRA: Hajiji beramah mesra dengan orang ramai yang hadir sempena Sambutan Hari Sabah 2024 di Padang Merdeka, di Kota Kinabalu pada Sabtu.

"Penerokaan itu antara usaha berterusan dan agresif bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebagai tambahan kepada sumber sedia ada,” katanya.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin telah menyempurnakan majlis pemasyhuran Sambutan Hari Sabah 2024.

Yang turut hadir, isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.

Pengisytiharan Hari Sabah pada 31 Ogos telah diwartakan Kerajaan Sabah pada bulan Jun lalu.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 06:40 AM GMT+8 , Processed in 0.047313 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list