Remaja perempuan bawah umur antara 3 didakwa terbabit aktiviti keldai akaun
Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 18, 2024 @ 1:15pm [email protected]

Tiga individu termasuk remaja perempuan bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menjalankan aktiviti mengumpul dan mendaftarkan akaun bank untuk keldai akaun. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
BALIK PULAU: Tiga individu termasuk remaja perempuan bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menjalankan aktiviti mengumpul dan mendaftarkan akaun bank untuk keldai akaun menggunakan telefon bimbit minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Ling Kie Teck, Kelvin Hung Tuan Wan masing-masing berusia 19 tahun dan remaja perempuan 16 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersetuju antara satu sama lain bagi melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu menjalankan aktiviti mengumpul dan mendaftarkan akaun bank kepada keldai akaun menggunakan tujuh telefon bimbit pelbagai jenis.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kafe di Lorong Bukit Kecil, Taman Sri Nibong, Bayan Lepas di sini, pada jam 7.30 malam, 12 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani mencadangkan jaminan sebanyak RM9,000 berserta seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam, S Sagthiyaraj yang mewakili kesemua tertuduh meminta jaminan rendah atas alasan mereka pesalah muda selain masing-masing datang dari Sarawak dan Johor.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan kesemua mereka perlu lapor diri di balai polis berhampiran kediaman masing-masing.
Kes akan disebut semula pada 19 November depan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1299830/remaja-perempuan-bawah-umur-antara-3-didakwa-terbabit-aktiviti-keldai
|