Penerima Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 merakam gambar bersama Liwan (berdiri tengah), Nor Azlan, Fredrick (berdiri tiga dan dua kanan) serta tetamu lainnya.
BELAGA: Penduduk yang menerima Bantuan MyLesen perlu menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin dan berhemah dengan mematuhi segala peraturan serta undang-undang jalan raya di negara ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang berkata, keadaan itu diharap dapat menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga itu berkata, sebanyak 21,418 kes kemalangan dengan 378 kes daripadanya adalah kemalangan maut yang mana 198 kes daripada jumlah itu membabitkan penunggang motosikal yang direkodkan berlaku di Sarawak pada 2023.
"Bahagian Bintulu pula mencatat 101 kes kemalangan melibatkan motosikal dengan 26 kes melibatkan kemalangan maut pada tahun ini (2024)," katanya berucap pada majlis penutupan rasmi Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 DUN Belaga di Dewan Masyarakat Belaga pada Rabu.
Justeru, katanya, bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,
maka, inisiatif program ini akan memberi latihan dan kesedaran disiplin kepada belia agar mematuhi undang-undang di jalan raya.
Liwan (dua kiri) diberi penerangan oleh Fredrick (kiri) berkenaan maklumat berkaitan sambil disaksi Nor Azlan (kanan).
Katanya, melalui program ini akan membantu mempermudahkan belia dalam urusan harian dan juga dapat meningkatkan ekonomi mereka.
Menurut kenyataan media Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), program ini telah diadakan di Limbang, Batang Lupar (Sri Aman), Petra Jaya (Kuching) dan beberapa tempat di negeri ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui JPJ.
Katanya, seramai 478 penduduk tempatan di kawasan DUN Belaga Sarawak telah terpilih untuk diberikan Lesen Motosikal Kelas B2.
"Pelaksanaan program ini melibatkan modul ujian bertulis, latihan memandu dan pengujian memandu bagi yang layak unuk memperolehi lesen kelas B2," katanya.
Kenyataan itu menyebut, program Bantuan MyLesen ini dikhususkan kepada masyarakat yang memerlukan terutamanya yang tidak mempunyai kemampuan ekonomi khususnya bagi golongan B40.
"Program ini sebelumnya dikenali sebagai Program Bantuan Lesen Keluarga Malaysia dijenamakan semula sebagai Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) dan telah dilancarkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 30 Mei 2023," katanya.
Katanya, program ini bertujuan untuk membantu golongan B40 atau golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen motosikal dengan kos yang minimum.
Terdahulu antara aktiviti yang diadakan dalam program itu ialah pameran oleh JPJ, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jualan kraf tangan dan kuih muih serta ceramah keselamatan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Belaga.
Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sarawak Nor Azlan Ibrahim, Ketua JPJ Cawangan Bintulu Fredrick Kedo, Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah, Ketua Polis Daerah Belaga DSP Jimbai Bala, Temenggong Ajang Sirek, Ketua-ketua jabatan, Ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum.
|