Uggah bersama yang lain semasa mengadakan lawatan di Kompleks UNIFOR di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching hari ini.
KUCHING: Kerja-kerja pembinaan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNFOR) di Jalan Ong Tiang Swee di sini mencapai 99.37 peratus dan dijangka boleh diduduki pada suku pertama tahun hadapan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau amat gembira dengan perkembangan projek yang dilihat mencapai sasaran dan dijangka akan dikeluarkan Permit Menduduki (OP) pada bulan ini.
“Dari segi penyiapan fizikal, kemajuan sebenar adalah 99.37 peratus. Masih ada beberapa isu yang perlu diselesaikan iaitu utiliti dan pihak berkuasa.
“Kami meletakkan sasaran OP untuk bangunan ini akan dikeluarkan pada September dan ini adalah tujuan saya melawat pagi ini, untuk melihat sama ada sasaran itu akan tercapai,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke Kompleks UNIFOR di sini, hari ini.
Uggah dan yang lain merakam kenangan di hadapan bangunan Kompleks UNIFOR selepas lawatan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kontraktor dan perunding kerana memastikan projek itu berjalan dengan baik dan menepati sasaran.
Uggah yang juga Menteri Bertanggungjawab UNIFOR amat yakin OP akan dikeluarkan pada bulan ini selepas pemeriksaan dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Isnin hadapan.
Menurut beliau, pada Mei lepas, Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mengadakan lawatan ke kompleks itu dan menetapkan sasaran OP dikeluarkan selewat-lewatnya pada September.
Mengulas lanjut mengenai kompleks terbabit, Uggah berkata projek bernilai RM73 juta itu merangkumi menara pejabat sembilan tingkat, sembilan lot kedai, dewan acara yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang atau 120 meja serta lebih 200 tempat letak kereta.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Premier kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas sokongan tidak berbelah bahagi yang telah beliau berikan kepada kami,” ujarnya.
Menegaskan UNIFOR sebagai lambang keterangkuman Sarawak, Uggah berharap unit itu akan terus memainkan peranan penting dalam menyatupadukan rakyat negeri ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak untuk menjadi wilayah berpendapatan tinggi.
“Dengan cara ini perpaduan adalah sangat kritikal untuk memastikan hasrat Premier kita akan tercapai iaitu melihat Sarawak membangun dan UNIFOR akan memainkan peranan.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan semua badan agama bukan Islam di Sarawak supaya kami akan terus memainkan peranan untuk membina perpaduan bagi memastikan Sarawak terus menjadi wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030,” tegasnya.
|