|
MIRI: Padah mengugut hendak membakar rumah seorang lelaki warga emas, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Sandy Yvette Freddy setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
Mohd Aziff Ajis, 34, dari Pujut Tanjong Batu di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membakar rumah milik Ajis Tahar, 65, dengan niat hendak menakutkan warga emas terbabit.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.30 malam, 15 September lalu di Jalan Tanjung Batu 1A, Kampung Pujut Tanjung Batu di sini.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
https://www.utusanborneo.com.my/2024/09/19/pemuda-ugut-bakar-rumah-warga-emas-dipenjara-dan-didenda
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|