Sagah (lima kiri) bersama Len Talif (empat kanan) dan Adana (empat kanan) serta yang lain bergambar bersama poster SCaT Fair 2024 pada sidang media di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching semalam. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2024 bakal menawarkan 1,175 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor serta dijangka menarik lebih 12,000 pelawat dan 50,000 penonton dalam talian.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ia akan dilaksanakan di dua lokasi dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan dengan sokongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Pameran SCaT tahun ini akan berlangsung di Kuching dan Sibu. Pada tarikh 5-6 Oktober 2024 bertempat di Pusat Acara Hikmah Exchange bermula jam 8.30 pagi hingga jam 5 petang, pameran ini bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
"Manakala di Sibu pada 2-3 November bertempat di Stadium Tertutup Sibu bermula jam 8.30 pagi sehingga 5 petang akan dirasmikan oleh saya sendiri," katanya pada sidang media SCaT Fair 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, lebih daripada 50 peserta pameran termasuk syarikat, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, penyedia bantuan kewangan, sekolah teknik, serta jabatan dan agensi kerajaan, akan mengambil bahagian.
Pihak PERKESO juga katanya akan mengadakan sesi temu duga kerja terbuka yang menampilkan 30 industri pada tahun ini.
Selain itu, Petronas juga akan membawa lebih 30 syarikat vendornya untuk menawarkan peluang pekerjaan, jelasnya.
Sagah berkata, sempena dengan SCaT Fair 2024 tahun ini, kementerian dengan kerjasama CHEMSAIN HRD Sdn Bhd, juga akan menganjurkan ceramah kerjaya setengah hari bertujuan merapatkan jurang antara ahli akademik dan industri.
"SCaT Fair menampilkan program yang merangkumi pertandingan mempamerkan kemahiran pelatih daripada institusi-institusi di Sarawak.
"Kami juga menganjurkan pameran, pertandingan dan ceramah STEM untuk membangkitkan minat pelajar dalam bidang ini," katanya.
Selain peluang pekerjaan, pameran itu akan menampilkan beberapa acara serentak, termasuk tujuh program sampingan menarik iaitu Taman Permainan STEM, Drone & Robotic Explore (Drobotex) Challenge, SCaT Kamboh Stage, Skills Master, Lucky Draw, Planetarium Sultan Iskandar (PSI) Kubah, Pertemuan Komuniti Cosplay dan Zon Keseronokan Kanak-kanak.
Sebelum ini, SCaT Fair telah menjalankan Project of Dreams Realized (PRO-DR) Siri Ke-9 2024 yang meliputi Lundu, Siburan, Sri Aman, Saratok, Sarikei, Meradong, Kapit, Daro, Mukah, Sungai Asap, Niah, Miri dan Limbang sehingga Ogos tahun ini.
"Dalam persekitaran kita yang pesat berubah, pendidikan mesti menyesuaikan diri dengan cepat. Dua bidang tumpuan kritikal ialah kemahiran yang diperlukan untuk ekonomi hijau dan digital.
"Dengan pendigitalan dan automasi yang mengubah pasaran buruh, pendidikan secara berkesan menyediakan belia kita untuk peluang pekerjaan masa hadapan," ujarnya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap MEITD Adana Jed.
|