KUCHING: Jumlah kekosongan jawatan guru di bawah inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak ditambah kepada 2,180 berbanding sebelumnya.
Sebanyak 1,140 kekosongan sebelum ini ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
Peningkatan itu susulan pertemuan kementeriannya dengan SPP semalam (19 Sept).
Beliau berkata, usaha pengambilan telah menarik minat yang ketara, dengan lebih 15,000 pemohon dari Sarawak sahaja dan tambahan 2,000 lagi dari bahagian lain di Malaysia.
“Kami pada mulanya menawarkan 1,140 jawatan untuk Pengambilan Guru Khas Sarawak.
“Bagaimanapun, selepas mesyuarat bersama SPP semalam, kita memutuskan untuk mengambil seramai 2,180 guru di bawah inisiatif ini untuk tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (Pameran SCaT) 2024 di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.
Berhubung proses pengambilan, kata Sagah, calon yang lulus tapisan awal dipanggil untuk ujian psikometrik dalam talian baru-baru ini.
Susulan itu, beliau memberi jaminan bahawa calon yang disenarai pendek akan dijemput untuk menghadiri temu duga secara peribadi.
“Mereka yang terpilih untuk temu duga fizikal akan dinilai bagi menentukan kesesuaian mereka dengan jawatan yang ada,” tambahnya.
Sementara itu, sekitar 6,000 calon yang lulus ujian psikometrik difahamkan akan dipelawa untuk ditemu duga, yang dijadual berlangsung pada minggu kedua Oktober.
Temu duga itu akan diadakan di tiga lokasi di Kuching, Sibu dan Miri.
Menurut Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), negeri ini dijangka menghadapi kekurangan 2,373 guru menjelang akhir tahun ini.
|