LEMAS: Kanak-kanak perempuan yang dihanyutkan arus deras di sungai ditemukan lemas.
TAWAU: Seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai hanyut di sungai Kampung Ranggu, Batu 8 Jalan Apas, di sini, ditemukan lemas, pagi tadi.
Mangsa berusia empat tahun itu ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi pada jarak 800 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.06 petang, semalam.
Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut pengadu mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan bersama bapanya.
“Pasukan bomba menjalankan operasi SAR dengan kaedah pencarian dipermukaan sungai bersama agensi lain dan orang awam,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa ditemukan oleh orang awam yang menyertai operasi SAR hari kedua pada jarak 800 meter dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 8.30 pagi,” katanya.
|