BINTULU: Batik Air Malaysia dijangka melancarkan penerbangan terus antara Kuala Lumpur-Bintulu pada 1 November depan, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing (gambar).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, dengan adanya perkhidmatan penerbangan syarikat penerbangan yang sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air, ia dijangka akan meningkatkan lagi peluang perniagaan, pelancong dan sebagainya antara kedua-dua wilayah.
"Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sememangnya amat komited bagi meningkat serta mengukuhkan sektor pelancongan di Sarawak yang mana operasi penerbangan yang diwujudkan ini nanti bakal membantu dalam mempromosikan industri pelancongan Sarawak dengan lebih baik," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau dalam masa sama turut menzahirkan penghargaan terhadap Batik Air atas sokongan serta komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat penerbangan berkenaan bagi menyediakan kemudahan penerbangan harian dari kedua-dua kawasan.
Terdahulu menurut Tiong, pada 30 Julai lalu, MOTAC telah bertemu dengan pengurusan Batik Air bagi membincangkan penambahan kekerapan penerbangan ke Bintulu.
Semasa pertemuan itu katanya, MOTAC turut mengusahakan bagi membuka laluan seperti Johor Bahru-Bintulu dan Kuala Lumpur-Bintulu.
"Dengan adanya penerbangan terus ini nanti, ia akan merealisasikan impian bagi menjadikan Sarawak sebagai antara destinasi pilihan utama pelancong dari luar untuk datang ke Sarawak," jelasnya.
|