Abdul Karim berucap pada program NatM di Muzium Budaya Borneo. - Gambar Penerangan
KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) muncul destinasi popular dalam kalangan pelawat antarabangsa dan tempatan dengan jumlah pelawat 1.1 juta sejak pembukaan pada Mac 2022.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata selain pameran tetap, BCM turut menampilkan pameran inovatif bagi menarik pelawat.
Tahun lepas katanya, Jabatan Muzium Sarawak membawa masuk 'Museum of the Moon', karya seni berkelas dunia oleh Luke Jerram, yang telah menarik lebih 60,000 pelawat ke BCM.
Tahun ini pula katanya, Jabatan Muzium Sarawak memperkenalkan tarikan sama Pameran GAIA (The Earth) oleh Luke Jerram, yang telah menarik lebih 89,000 pelawat.
Malam Sabtu pula katanya, diadakan buat pertama program Nigth at the Musuem (NatM) untuk mempertunjukkan beberapa koleksi bintang BCM yang menjadi indentiti kepada komuniti di Borneo dan Sarawak.
Tun Wan Junaidi dan isteri Toh Puan Fauziah merakam gambar bersama Abang Johari, Abdul Karim serta yang lain pada program NatM di BCM. - Gambar Penerangan
“Jabatan Muzium Sarawak komited untuk menyediakan pameran dan program berkelas dunia yang mempromosikan pendidikan bukan formal kepada pelawat tempatan dan antarabangsa termasuk pelajar.
“Acara malam ini (program NatM) adalah satu contoh untuk berkongsi ilmu pengetahuan, menghargai budaya warisan dan pada masa yang sama meningkatkan aktiviti pelancongan dan menyediakan peluang ekonomi kepada negeri.
“Saya berharap Jabatan Muzium Sarawak akan terus menganjurkan lebih banyak acara pada masa akan datang,” katanya semasa berucap pada program NatM di BCM malam tadi.
Ujar Abdul Karim lagi, sejak pembukaannya pada Mac 2022, BCM juga telah memberi manfaat kepada pelajar dari 212 prasekolah, 528 sekolah rendah dan 147 sekolah menengah melibatkan lebih 14,000 pelajar.
BCM katanya, juga muzium pertama di Malaysia yang diiktiraf secara rasmi sebagai Bangunan Hijau di bawah Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan ditauliahkan dengan penilaian perak pada 18 Jun 2024.
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hadir pada program itu bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
|