Usaha mencari kanak-kanak perempuan dipercayai dibaham buaya di Sungai Tatau memasuki hari kelima hari ini.
BINTULU: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai dibaham buaya pada petang Rabu lalu diteruskan pada hari kelima hari ini.
Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis berkata, usaha mencari mangsa sejak empat hari lalu masih gagal menemui sebarang petunjuk terbaharu namun diteruskan hari ini.
"Usaha pencarian turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi-agensi berkaitan bermula jam 8 pagi menyasarkan sekitar radius tujuh kilometer ke hulu Sungai Tatau," katanya.
Jame berkata, setakat ini usaha pencarian belum menunjukkan sebarang penemuan terbaharu.
Katanya, sebarang penemuan terbaharu berhubung usaha pencarian mangsa dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pada petang Rabu lalu, mangsa dikatakan mandi di sungai terbabit bersama datuk dan kakaknya sebelum disambar buaya.
|