Beberapa jalan akan ditutup dan dilencongkan bagi memastikan kelancaran Program Madani Rakyat 2024 Sarawakku Sayang yang bakal diadakan di perkarangan Boulevard Mall Miri pada 27 hingga 29 September.
MIRI: Pihak polis akan membuat penutupan dan lencongan beberapa jalan bagi memastikan kelancaran Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang yang bakal diadakan di perkarangan Boulevard Mall Miri pada 27 hingga 29 September.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, jalan-jalan yang ditutup dan dilencongkan adalah di Jalan Boulevard Utama, Jalan Vinca dan susur keluar Jalan Boulevard 2D.
“Bagi orang ramai yang ingin hadir ke program ini adalah dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan di tempat letak kenderaan Stadium Miri dan tempat letak kenderaan awam kawasan berhampiran Boulevard Mall.
“Orang ramai yang meletakkan kenderaan di perkarangan Stadium Miri akan disediakan bas untuk membawa mereka ke tapak program,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dalam pada itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan agar tidak mengganggu kelancaran lalu lintas serta sentiasa mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas.
Selain itu, bersempena program ini juga, pihak polis menawarkan pengurangan kadar kompaun atau saman sebanyak 50 peratus.
“Sebanyak 14 kaunter semakan dan bayaran akan dibuka di tapak program ini,” ujar Alexson.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di talian 085-430479.
|