CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 14096|Reply: 0

[Sarawak] Muzium Sejarah Semula Jadi akan dibuka semula

[Copy link]
Post time 26-9-2024 01:14 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 26-9-2024 05:18 AM

Kerja-kerja pengubahsuaian muzium itu telah pun disiapkan dengan fasa seterusnya ialah penempatan artifak



Abdul Karim melihat buku mewah ’Rintis Kecemerlangan: FSGK - Petronas yang dihadiahkan kepadanya sebagai kenangan. Turut kelihatan Sulong (empat kanan), Musdi (tiga kanan), Nancy (kanan) dan lain-lain. -Gambar Kong Jun Liung

“Bangunan muzium itu diubah suai kerana terdapat kebocoran pada bumbung sebelum ini.”

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan

KUCHING: Muzium Sejarah Semula Jadi (Natural History Museum) yang terletak di Taman Budaya di sini, dijangka dibuka semula kepada orang ramai tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya kerja-kerja pengubahsuaian muzium itu telah pun disiapkan dengan fasa seterusnya ialah penempatan artifak.

“Bangunan muzium itu diubah suai kerana terdapat kebocoran pada bumbung sebelum ini.

“Setelah selesai, kini kita membawa balik artifak yang telah disimpan dengan selamat di seluruh Kuching.

“Ini akan mengambil sedikit masa kerana kita perlu memastikan ada sistem yang betul dalam mempamerkan artifak dan pameran. Saya berharap muzium itu dapat dibuka tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Seni Gunaan dan Kreatif (ICACA) Ke-7 2024 di Auditorium Muzium Budaya Borneo di sini hari ini.

Mengenai kos pengubahsuaian, Abdul Karim berkata beliau tidak mempunyai jumlah tepat tetapi menganggarkan melibatkan jutaan ringgit.

"Apabila siap nanti ia menjadi muzium yang sangat menarik. Kita ada Muzium Budaya Borneo dan ini adalah Muzium Sejarah Semula Jadi di mana pengunjung akan melihat Niah, tengkorak dan pelbagai pameran lain,” katanya.

Terdahulu, Abdul Karim berkata Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan badan antarabangsa dan pakar industri untuk memastikan industri kreatif Sarawak terus berdaya saing di persada global.

“Kita (Kerajaan Sarawak) sentiasa percaya bahawa industri seni dan kreatif adalah sebahagian daripada identiti Sarawak.

“Justeru, dengan mengiktiraf kuasa kreativiti dan inovasi, ia bukan sahaja akan mengekalkan warisan kita tetapi  menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negeri kita melalui pelancongan tempatan, misalnya,” katanya.

Mengenai ICACA, beliau berkata persidangan itu berfungsi sebagai platform penting untuk kerjasama merentas disiplin di mana sarjana, kreatif, penggubal dasar dan pemimpin masyarakat berkumpul untuk bertukar idea serta meneroka kuasa transformatif seni juga budaya.

“Tahun ini, persidangan menampilkan lebih 80 penceramah dan pembentangan dari Malaysia, Indonesia, China, Australia dan negara lain.

"Penemuan, pandangan dan pengalaman mereka akan menawarkan perspektif berharga tentang seni gunaan dan kreatif merangkumi pelbagai topik daripada seni serta budaya lestari kepada reka bentuk perindustrian, fesyen, sinematografi dan pemeliharaan budaya," katanya.

Beliau berkata kepentingan seni dan ritual orang asli perlu diteliti sambil menekankan kepentingan warisan budaya dalam memupuk pelancongan mampan dan pembangunan komuniti.

“Ini membuktikan peranan penting pengamal seni tempatan dan inisiatif kolaboratif dalam mengekalkan identiti budaya. Inilah usaha yang ICACA perjuangkan sejak penubuhannya,” tambahnya.

Dianjurkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), ICACA tahun ini bertemakan ‘Memupuk Perubahan: Melepaskan Inspirasi Tanpa Batas Dalam Seni Kreatif’, mencerminkan peranan transformatif seni kreatif dalam mengemudi anjakan global, khususnya dalam era digital.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi dan Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMASProfesor Dr Musdi Shanat.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-11-2024 03:06 AM GMT+8 , Processed in 0.037103 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list