Pasukan SAR bomba dan polis yang terlibat dalam pencarian mangsa semalam.
BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Cicilia Julan Intik berusia enam tahun, yang hilang berikutan serangan buaya di Sungai Tatau pada 18 September lepas ditangguhkan sehingga ada petunjuk baharu untuk operasi disambung semula.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (Bomba) Tatau Jankey Jikat berkata, tiada petunjuk positif semasa operasi yang memasuki hari kelapan semalam, sambil menambah bahawa penyelamat hanya akan meneruskan operasi apabila petunjuk baharu ditemui.
Katanya, pencarian semalam bermula awal pagi, meliputi radius 5 kilometer (km) ke hulu sungai dari pangkalan di sepanjang Sungai Tatau, berhampiran lokasi kanak-kanak itu diserang termasuk kawasan di sepanjang pekan lama Tatau.
“Sehingga 10.30 pagi, pasukan SAR melaporkan tiada sebarang petunjuk mengenai mangsa,” katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.
Pada sebelah petang katanya, operasi SAR dihentikan, sementara keluarga bersama pawang buaya, melakukan ritual untuk memanggil buaya dan memasang pancing buaya.
Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan turut menemui ahli keluarga mangsa semasa operasi pencarian dijalankan pada semalam.
|