CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9850|Reply: 0

[Sabah] Orang ramai perlu sedar mengenai risiko penyakit Lupus

[Copy link]
Post time 16-10-2024 10:44 AM | Show all posts |Read mode


PENGHARGAAN: Chang (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr Anna pada program berkenaan.

KOTA KINABALU: Program Kesedaran Lupus Sabah 2024 telah berjaya diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Francis Convent (M) bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) dalam kalangan belia.

Acara ini menarik penyertaan yang penuh semangat daripada komuniti sekolah dan memberikan pandangan berharga tentang cabaran yang dihadapi.

Acara bermula pada jam 7 pagi dengan ceramah disampaikan oleh Dr. Anna Farazilah Mohd Salleh iaitu seorang pakar reumatologi terkenal dari Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.

Pembentangan beliau bertajuk 'Mari Bercakap Mengenai Lupus' merangkumi pelbagai aspek penting mengenai SLE, dengan penekanan khusus terhadap fotosensitiviti iaitu satu simptom biasa yang dialami oleh pesakit lupus, yang menekankan keperluan mereka untuk mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari.

Maklum balas daripada para pelajar amat positif, menunjukkan keberkesanan program dalam meningkatkan kesedaran.

Para peserta menunjukkan rasa ingin tahu yang luar biasa, mengemukakan soalan-soalan yang mendalam dan menunjukkan peningkatan kesedaran mengenai perjuangan yang dihadapi oleh individu dengan SLE.

Penglibatan aktif mereka menandakan kejayaan acara ini dalam memupuk empati dan pemahaman dalam kalangan pelajar.

Selepas ceramah, seramai 347 pelajar dari Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 turut serta dalam acara simbolik Mini Walk a-Payung, satu acara berjalan kaki sejauh 400 meter yang diadakan di padang sukan sekolah.

Semasa berjalan kaki, pelajar membawa payung terbuka sebagai simbolik kepada perjuangan harian yang dihadapi oleh pesakit lupus, terutamanya keperluan untuk melindungi diri daripada cahaya matahari, satu peringatan mendalam mengenai cabaran-cabaran tidak terlihat dalam kehidupan pesakit ini.

Naib Presiden Persatuan SLE Malaysia, Kumpulan Sokongan Sabah, Chang Shui Han menegaskan acara ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada Program Kesedaran Lupus Sabah 2024 di bawah tema 'Kenali Lupus' dan 'Sebarkan Kesedaran Lupus'.

Beliau menekankan matlamat inisiatif ini untuk mendidik generasi muda tentang lupus, termasuk simptom, impaknya dan kepentingan pengesanan awal serta pengurusan yang betul.

Katanya, dengan memberi pengetahuan yang tepat, program ini bertujuan mendapatkan sokongan masyarakat yang lebih besar untuk 'Pahlawan Lupus', mereka yang hidup dengan berani mengatasi cabaran penyakit ini.

Dalam pada itu, pihak penganjur juga menghargai Pengetua SMK St. Francis Convent (M) Flavia Suimin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Serena Roslinah Imran dan Guru Kesihatan, Nur Syuhaida Ab.Halim atas peranan penting mereka dalam menganjurkan acara ini.

Kerjasama sekolah diiktiraf sebagai penting dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar muda dan memupuk rasa empati serta pemahaman terhadap lupus, seterusnya membantu melahirkan generasi masa depan yang penyayang dan berpengetahuan.

SLE adalah penyakit autoimun yang lazimnya menjejaskan individu berumur antara 15 sehingga 25 tahun.

Lebih 95 peratus pesakit terdiri daripada wanita dalam usia subur, manakala lelaki dan kanak-kanak mewakili peratusan yang lebih kecil.

SLE berlaku apabila sistem imun menghasilkan antibodi yang berlebihan dan menyerang tisu badan, yang boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.

Mengesan penyakit lupus boleh menjadi sukar kerana simptom utamanya seperti sakit sendi, keletihan, ruam, dan demam sering menyerupai banyak penyakit biasa, sehingga menyebabkan kesilapan diagnosis dan rawatan yang tidak sesuai.

SLE dikaitkan dengan kecenderungan genetik, pendedahan kepada sinar ultraungu, paras estrogen, ubat-ubatan tertentu, makanan dan jangkitan.

Simptom SLE berbeza-beza dan boleh termasuk demam berulang, ruam berbentuk rama-rama atau diskoid, pendarahan atau ulser di mukosa mulut, serta sendi bengkak dan sakit.

Penyakit ini juga boleh menjejaskan organ utama seperti paru-paru, buah pinggang dan sistem saraf yang menimbulkan risiko kesihatan yang serius.

Persatuan SLE Malaysia, yang ditubuhkan pada tahun 1994, adalah sebuah organisasi amal yang menyediakan sokongan sosial dan psikologi kepada individu yang terkesan oleh SLE.

PSLEM, Kumpulan Sokongan Sabah telah ditubuhkan pada tahun 2013, dengan jumlah keahlian sekitar 890 orang di seluruh Sabah, termasuk pesakit dan bukan pesakit dari pelbagai kawasan.

Untuk maklumat lanjut mengenai lupus dan cara untuk terlibat, layari www.lupusmalaysia.org atau ikuti mereka di Facebook di Persatuan SLE Malaysia Kumpulan Sokongan Sabah dan Instagram di Pslem Sabah Chapter Official.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 04:44 PM GMT+8 , Processed in 0.052537 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list