Usia 71 tahun semangat kayuh basikal ke Makkah
Noorazura Abdul Rahman[email protected]

Dahalan (tengah) serta Zam (kanan) dan Ahmad Zulkifli ketika majlis pelepasan kembara ke Mekah di Mergong di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Alor Setar: Usia 71 tahun tidak menghalang seorang pesara memulakan kayuhan sejauh 6,000 kilometer (km) ke Makkah bersama adik dan rakannya yang dijangka mengambil masa enam bulan.
Kembara Berbasikal Ke Mekah yang diketuai Dahalan Yahaya, 71, serta adiknya Zam, 61, dan Ahmad Zulkifli Ahmad, 56, memulakan kayuhan dari Kuala Lumpur pada 12 Oktober lalu, sebelum tiba di sini, Isnin lalu.
Hari ini, mereka meneruskan kayuhan menuju ke Thailand sebelum merancang merentasi India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan seterusnya ke Arab Saudi.
Dahalan berkata, idea untuk berbasikal ke Makkah itu timbul selepas melihat pasangan suami isteri berjaya sampai di sana sebanyak dua kali dengan mengayuh basikal beberapa tahun lalu.
"Kami mula berlatih sejak dua tahun lalu, berbasikal pusing Malaysia dan kami pastikan mengayuh sekurang-kurangnya 100 kilometer (km) setiap hari.
"Bagi kami ini saja cara yang terbaik memastikan tahap stamina dan kekuatan berada pada tahap maksimum," katanya pada majlis pelepasan kembara itu di sini, hari ini.
Sementara itu, Zam yang juga adik ketujuh daripada 12 beradik berkata, dia bersetuju menyertai kembara berkenaan selepas dipujuk berbulan-bulan oleh abangnya.
Katanya, mereka akan berkayuh melintasi sempadan Malaysia-Thailand dan kemudian meneruskan kayuhan ke Bangkok sejauh 999 km yang dijangka mengambil masa antara 23 hingga 25 hari.
"Kami akan berehat seminggu di Bangkok dan lepas itu akan naik pesawat ke New Delhi kerana pintu sempadan darat Myanmar dan Bangladesh ditutup kerajaannya.
"Selepas itu kayuhan akan diteruskan di India, Pakistan, Iran sebelum menaiki feri untuk ke UAE dan kami dijangka tiba di Arab Saudi pada Ramadan, Mac depan," katanya.
Zam berkata, segala persiapan sudah dibuat termasuk dari aspek fizikal, mental, kesihatan, dokumentasi, kayuhan serta mengkaji laluan perjalanan yang digunakan sepanjang kembara itu.
"Kami bernasib baik kerana sebelum ini ada rakyat Malaysia berjaya sampai ke Makkah menunggang basikal, jadi kami gunakan laluan sama.
"Untuk penginapan, kami merancang bermalam di masjid atau surau. Tetapi sekiranya tiada tempat untuk bermalam, kami akan memasang khemah di tepi jalan," katanya.
Mereka bertiga juga turut diiringi tiga pengayuh basikal dari Alor Setar sehingga ke Bangkok sebagai tanda sokongan kepada peserta kembara itu.
Disiarkan pada: Oktober 24, 2024 @ 1:52pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1147854/usia-71-tahun-semangat-kayuh-basikal-ke-makkah
|