Hasbi (empat kiri) ditemani Khalthom (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan mewarna.
LIMBANG: Penduduk yang tinggal kawasan sempadan perlu mengetahui perkembangan terkini dan perundangan baharu berkaitan hal dan aktiviti lintas sempadan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata maklumat itu perlu bagi memudahkan mereka terutama berkaitan aktiviti lintas sempadan melibatkan negara jiran Brunei.
“Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Limbang juga perlu menyampaikan pelbagai perkara baharu termasuk hal berkaitan sempadan, lintas sempadan dan perundangan baharu kepada penduduk yang mendiami kawasan sempadan antara Limbang dan Brunei,” katanya pada Program Sesi Libat Urus Program Khidmat Masyarakat (CSR) Bersama Komuniti Setempat anjuran JIM Bahagian Limbang di Dewan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tedungan Limbang di sini.
Turut hadir Ketua Imigresen Bahagian Limbang Khalthom Ahmad.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata, program sedemikian dapat mempertingkat kesejahteraan rakyat serta mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat dengan agensi-agensi kerajaan terutama JIM menjalinkan ukhuwah dalam kalangan agensi bagi memudahkan urusan kerja.
“Program ini dapat memperkenal peranan dan fungsi agensi-agensi serta berkongsi maklumat dengan masyarakat setempat mengenai perkhidmatan yang diberikan.
“Pada masa sama, ia mampu memberi peluang kepada agensi-agensi kerajaan menyelami serta memahami permasalahan masyarakat setempat secara bersemuka dan mewujudkan rasa kesedaran serta tanggungjawab sosial dalam kalangan warga JIM bagi membantu masyarakat setempat secara sukarela,” jelasnya.
|