SEMANGAT: Bung Moktar bersama pemimpin dan ahli UMNO melaungkan kata semangat dalam program berkenaan.
TAWAU: UMNO Sabah akan pertimbangkan untuk meletakkan calon di semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, pihaknya akan meneliti kekuatan jentera di semua kerusi DUN berkenaan sebelum membuat sesuatu keputusan.
Katanya, kawasan yang mana mempunyai kekuatan 50 peratus ke atas akan diberikan keutamaan untuk diletakkan calon.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan kekuatan di DUN Tanjung Batu, selain ia sememangnya kubu kuat dan milik UMNO sejak dari dulu lagi.
“Untuk DUN Kukusan, Merotai dan Sebatik, kita akan lihat sekiranya kawasan itu mempunyai kekuatan 50 peratus ke atas, sudah pasti kita letak calon kerana peluang ada,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata demikian selepas melancarkan Program Gerak 17 UMNO bagi kawasan DUN Tanjung Batu, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai calon pula, Bung memberi jaminan sekiranya individu berkenaan disukai oleh jentera dan rakyat sudah pasti dia akan dipilih.
“Kalau mereka suka Ketua Bahagian UMNO Kalabakan, saya pasti akan meletakkan beliau sebagai calon untuk bertanding kerana saya tidak pilih kawan, tetapi siapa yang boleh menang.
“Sekiranya mereka suka sesiapa sahaja, saya akan bagi jadi calon, namun saya dapat lihat mereka suka ketua bahagian yang ada ketika ini,” katanya.
PENGHARGAAN: Samasuddin (kanan) menyerahkan cendera kenangan kepada Bung Moktar.
Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Kalabakan Samasuddin Yusop berkata, empat DUN di Parlimen Kalabakan sudah pasti akan menjadi tumpuan pada PRN akan datang.
Katanya, matlamat kita bukan semata mendapat kemenangan DUN tetapi ia langkah pemula kepada keberjayaan besar pada masa akan datang kerana jika DUN dikuasai, kerusi Parlimen juga akan menyusul.
“UMNO Pusat telah meletakkan Kalabakan sebagai ‘Parlimen Tier 1’ iaitu kadar keberangkalian memang yang tinggi sekiranya bertanding berdasarkan statistik dan tren semasa.
“Ini bermakna ‘on paper statistically’ kita mempunyai peluang yang cukup besar untuk menang pada PRN akan datang,” katanya.
Menurutnya, semboyan sudah dibunyikan, sekarang bukan lagi masa untuk duduk senang, tetapi persediaan rapi sudah mula untuk digerakkan.
“Jentera DUN, Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta cawangan perlu mengaktifkan mod kuning dan hijau sebagai lambang kesiapsiagaan berdepan cabaran menjelang PRN kelak.
“Namun langkah kita perlu dilihat matang dan profesional. Gunakan aset dan kepakaran tersedia, kekuatan sumber manusia dan pengalaman untuk menambat semula hati rakyat Kalabakan,” katanya.
|