RASMI: Juhar (dua kiri), Hajiji (kiri), Khairul (tiga kiri) serta tetamu kehormat lain ketika di majlis itu.
KOTA BELUD: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan sentiasa mengangkat dan menghargai setiap elemen warisan, tradisi, kebudayaan, kesenian serta adat istiadat setiap suku kaum di negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, dalam memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di negara ini terus kekal berdaya saing, MOTAC menawarkan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada semua penggiat seni khususnya di peringkat akar umbi dalam melaksanakan program atau acara kebudayaan.
"Sehubungan dengan itu, MOTAC telah meluluskan sebanyak 64 permohohan dengan jumlah keseluruhan RM2,725,000 bagi Sabah pada 2024.
"Daripada jumlah itu, kira-kira RM400,000 telah diperuntukkan kepada 20 persatuan penggiat seni dari daerah Kota Belud sebagai sokongan kepada usaha memelihara warisan budaya tempatan.
"Tahun depan, saya harap lagi ramai NGO Sabah akan memohon GSSK," katanya di Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Tamu Besar Kota Belud sememangnya berpotensi untuk diangkat sebagai salah satu produk pelancongan dan kebudayaan Sabah.
Menurutnya, penganjuran program ini sejajar dengan usaha memajukan sektor pelancongan setempat menerusi kekayaan warisan budaya masyarakatnya.
"Di sini, pengunjung akan dapat membeli hasil produk kraf tangan tempatan yang unik dan berbeza daripada hasil kraf dari daerah lain di Sabah.
"Selain itu, pelancong juga berpeluang menikmati keunikan budaya seterusnya melestarikan kecemerlangan seni, budaya dan warisan kita.
"Saya berharap usaha berterusan ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara terutamanya bersempena dengan kempen Melawat Malaysia 2026," katanya.
Beliau berpendirian bahawa dengan adanya kombinasi kebudayaan di dalam pelancongan, ia memberi nilai dan makna yang sungguh mendalam kepada percutian. "Itulah sebabnya sangat penting untuk kita menggabungkan kedua-dua aspek ini ke dalam satu pakej," katanya.
Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin. Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, serta tetamu kehormat yang lain.
|