Shafiee gembira dirinya terpilih untuk mengetuai perbarisan sempena Majlis Konvokesyen Ke-28 UNIMAS hari ini. -Gambar Roystein Emmor
KOTA SAMARAHAN:Berbekalkan semangat serta azam diri yang kuat, seorang penghidap kanser usus tahap empat, Mohamad Shafiee Suhaili, 38, berjaya mengetuai perbarisan sempena Majlis Konvokesyen Ke-28 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.
Beliau ketika ditemui pemberita berkata tidak ada yang lebih penting buatnya selain diberikan peluang untuk mengendalikan perbarisan lintas hormat Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.
"Alhamdulillah, ini merupakan hari yang istimewa buat saya, perkara ini menggamit memori saya sendiri selaku alumni Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UNIMAS merangkap alumni UNIMAS, semangat (keterujaan) untuk menyaksikan adik-adik bergraduasi itu tinggi.
"Paling istimewa, dapat berjumpa depan-depan dengan TYT ketika hormat senjata, bukan senang dapat bertemu dengan beliau (TYT) walaupun sekadar bersua muka, pengalaman ini tidak semua orang akan dapat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Detar Putra sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-28 hari ini.
Shafiee berjaya mengemudi perbarisan berjumlah kira-kira 120 orang dengan sempurna menerusi perbarisan yang dilaksanakan lebih kurang 30 minit.
Di sebalik kejayaan itu, Shafiee menegaskan sakit yang dialami tidak menghalangnya untuk memberi persembahan terbaik sepanjang program berlangsung.
"Saya lakukan persiapan peribadi. Perkara paling utama ialah jaga pemakanan, sebulan sebelum program berlangsung saya tidak makan pedas agar persediaan saya menjelang aksi tidak terganggu kerana kita maklum kanser ini salah satu kriterianya ialah penghadaman tidak terkawal.
"Dari segi perubatan pula, memang saya cuba dapatkan yang terbaik," katanya.
Tegas Shafiee, segala-galanya bermula daripada iltizam diri sekiranya ingin memastikan sesuatu perkara itu dapat dilaksanakan dengan sempurna dan cemerlang. Mengulas mengenai persiapan latihan, Shafiee berkata latihan telah dimulakan sejak 27 Oktober lalu.
"Bermula pada hari itu, kita telah laksanakan latihan setiap hari, untuk hari biasa (Isnin hingga Jumaat) kita akan ambil masa kira-kira dua hingga tiga jam untuk melakukan latihan yang paling sempurna.
"Manakala pada hari cuti (Sabtu Ahad) kita akan adakan dua sesi di Kolej Kenanga," dedahnya.
Shafieee yang kini bertugas sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di CIQ Tebedu telah menceburi bidang terbabit sejak tahun 2018.
Beliau yang juga alumni UNIMAS daripada Fakulti Kejuruteraan bergraduasi pada 2013.
Untuk rekod, Shafiee juga pernah dipilih sebagai pegawai kadet terbaik sempena pentaulihan PALAPES pada 2011.
|